Jumaat, 19 Februari 2010

Besar mana masalah yang kita hadapi???

Besar atau kecilnya masalah itu terletak pada diri kita sendiri. Kalau kita rasa masalah itu kecil, maka kecillah ia. Begitu juga dengan sebaliknya. Justeru, besar atau kecilnya masalah itu, terletak pada diri kita sendiri.

Siapa yang tidak pernah berhadapan dengan masalah????? Semua orang tidak terlepas dengan ujian daripada Allah ini. Memang perit ketika kita berhadapan dengan masalah tetapi akan menjadi pedoman yang paling baik setelah kita berjaya melaluinya. Malah,kita semakin matang mengharungi kehidupan mendatang. Apatah lagi sekiranya kita berhadapan semula dengan masalah yang sama. Kita lebih bijak menanganinya. Apa yang lebih menarik lagi, kita boleh menjadi kaunselor kepada sesiapa sahaja yang menghadapi dengan masalah yang serupa. Sesungguhnya, pengalaman sebenar yang kita hadapi ini, merupakan guru yang paling bermakna dalam hidup kita.

Ramai insan menganggap masalah itu musibah. Masalah itu bencana yang menimpa. Ramai juga yang tidak dapat terima masalah yang menimpa. Malah, lebih menakutkan lagi ada yang hilang pedoman, hilang pegangan dan ada yang sampai melibatkan aqidah kerana rasa marah pada ketentuan Tuhan. Kita sering terlupa bersyukur tentang kenikmatan yang Allah berikan tetapi kita cepat melatah jika berhadapan dengan masalah. Adilkah kita sebagai manusia dalam menerima apa yang Allah berikan kepada hambaNya?

Dalam gelak tawa, kita mengaku kita hebat. Kita mengaku kita penyabar. Kita mengaku kita beriman. Semua orang dikeliling, nampak kitalah orangnya yang sering bersedekah. Kitalah juga orangnya menunggu tangga masjid. Kita laungkan kitalah orang yang bersyukur dengan segala kenikmatan. Tapi, sejauh mana kita mempunyai sifat-sifat seperti itu jika kita tidak diuji olehNya?

Sejauh mana kita boleh dikatakan bijak sekiranya tidak ada ujian atau peperiksaan bagi menentukan tahap kebijaksanaan kita?

Oleh itu, sebarang masalah yang melanda, carilah sedikit ruang untuk berfikir seketika. Ini adalah ujian dari yang Maha Esa. Wajarkah kita yang menerima kenikmatan bertahun-tahun lamanya , tapi sekali diberi ujian, kita lupa kenikmatan yang dikecapi selama ini.

Saya ingin para pembaca yang singgah di ruangan saya ini, memberi respon terhadap apa juga masalah. Kita sama-sama cuba mencari penyelesaiannya. Kalau tidak pun, kita cuba meringankan sedikit bebanan yang menimpa dengan berkongsi masalah tersebut. Itu lebih baik daripada kita melakukan kerja-kerja yang lebih ’bodoh’ dan merosakkan diri sendiri. Insyaalah, Allah akan menolong hamba-hambaNya yang ingat padaNya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan