Isnin, 26 Oktober 2020

Kasih Allah dan RahsiaNya


 Bismillahirahmanirrahim.

Perbualan melalui whatsapp dengan anak agak menyentuh hati. Walaupun dalam keadaan dia menerima sebuah kehilangan, namun jauh disudut hatinya terdapat juga sedikit kegusaran. Bukan tidak memahami, cuma kadang-kadang rasa sayang itu mengatasi segala-galanya.

 Hebat Allah memberi rasa itu. Rasa yang tidak berjisim tapi kita dapat merasakan kehebatannya.  Dan rasa itu begitu mendalam menyusuk ke hati apabila kita disayangi dengan sejujur-jujurnya. Sebab itulah ramai yang sanggup buat apa sahaja hanya untuk mendapatkan 'rasa' ini. Namun semua 'rasa' yang kita inginkan itu adalah rasa sesama manusia dan makhluk di dunia ini. Kalaulah  rasa sayang itu wujud antara kita dengan Pencipta dan Rasul, alangkah bertuahnya diri. Apabila kita sampai ke tahap itu, kita akan memahami hakikat kehidupan ini. Semua rasa yang Allah beri boleh dinikmati hanya kerana DIA. Sayang suami, sayang isteri, sayang ibu bapa , sayang anak dan sayang sahabat hanya kerana Allah kerana DIA lah mencipta insan-insan yang kita sayang dan DIA juga memasukkan rasa sayang ini. 

Apabila berlakunya perpisahan atau kehilangan orang yang dikasihi, rasa sedih itu tidak akan hilang sampai bila-bila tetapi dengan meyakini kasih sayang Allah mengatasi segala-galanya, maka kita dapat menerima hakikat kehilangan dengan hati yang lebih ikhlas.

Memang betul apa yang anak saya kata, " Antara kita semua ni akan rasa lagi next kehilangan, so camni je lah hidup"

Saya cuba fahamkan anak saya tentang erti sayang yang sebenar lebih-lebih lagi melibat keluarga sendiri.  Kalau benar-benar sayang, kita harus jaga semua yang Allah perintahkan tanpa ada sebarang pertikaian. Jaga solat, jaga aurat, jaga sikap,jaga semuanya mengikut syariat kerana dengan menjaga semuanya kita berusaha untuk jadi muslim yang baik. Allah menjanjikan doa anak-anak yang soleh akan sampai kepada ibubapa yang telah meninggal dunia. Berusahalah menjadi anak yang soleh. Selalu berniat , berdoa dan berusaha menjadi baik. Itulah nilai kasih sayang anak terhadap ibubapa dan sesama manusia....lillahi ta'ala . Bukan banyak persoalan kenapa dan mengapa. 

Kita kena selalu ingat, walau banyak mana kita menyayangi seseorang, tidak akan sama kasih sayang  Allah pada kita. Kita tidak perasan semua itu kerana sifat kita sendiri yang sangat lemah. Kita suka apa sahaja yang nampak di depan mata, ganjaran yang semerta, belaian dan kata-kata yang berbunga-bunga. Manusia memang lemah segala-galanya. Andai kita berusaha mencari kasih sayang Allah, kita dapat merasakan betapa banyak yang Allah beri walaupun adakala kita terlupa padaNya. Begitu juga dengan pengorbanan Nabi Muhammad saw terhadap umatnya. Dek kerana sibuk hal-hal dunia, kita teralpa untuk berselawat ke atasnya sedangkan kita mengharapkan syafaatnya kelak. 

Semoga kita semua sentiasa muhasabah dan cuba mengenali hakikat sebenar rasa cinta dan kasih ini. Lepaskan jasad orang yang kita cinta itu pergi dan simpan rasa cinta itu di dalam hati sebagai satu memori. Tidak salah kita mengingati kenangan yang terbina bertahun lamanya tetapi dalam masa yang sama kita harus mensyukuri setiap apa yang Allah pinjamkan seketika. Selalu berbaik sangka kerana terlalu banyak yang kita tidak tahu rahsia di sebalik kejadian.

Saya akhiri coretan ini dengan mengambil potongan ayat al Qur'an yang bermaksud:

“Dan disisi Allah tersimpan anak-anak kunci segala perkara ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Dia. Dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu yang ada di daratan dan lautan. Dan tiada sehelai daun yang gugur melainkan diketahui oleh-Nya. Dan tiada sebutir biji di dalam kegelapan-kegelapan perut bumi dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan semuanya tercatat di dalam sebuah buku yang amat jelas.” (QS. Al-An’am:59).

Isnin, 13 Julai 2020

Antara Ibu dan Isteri


Saya mendengar bait-bait ayat dengan teliti daripada mulut seorang guru lelaki tentang konflik antara kerenah ibu dan isteri. Si ibu tinggal bersendiri setelah suami dijemput ilahi. Kehidupan yang kian sunyi bila umur makin berganjak dari hari ke hari. Akhirnya, si ibu tidak betah tinggal sendiri. Terpaksa duduk bersama anak-anak secara bergilir-gilir. 

Konflik mula timbul bila si ibu inginkan perhatian daripada anak dan menantu sedangkan anak dan menantu sibuk dengan kehidupan Seharian. Anak-anak masih sibuk mencari tempat dalam membina kedudukan. Masakan faham akan keperluan orang-orang yang umurnya kian senja. 

Saya membiarkan kawan saya ni menghabiskan ceritanya. Sebelum ni, ibunya tinggal bersama adiknya  Masalah yang sama timbul apabila si anak dan isteri sibuk dengan urusan semasa sedangkan ibu perlu teman untuk bercerita. Terlalu kontradik hidup ini. Kalaulah kehidupan ini selari, saling memahami, alangkah indahnya. Si ibu juga akan menikmati sisa-sisa kehidupan dengan indah sekali tapi apa yang biasanya berlaku, tidak sama dengan apa yang kita bayangkan. Lakaran keindahan hidup ini, tidak pernah sama dengan realiti. 

Saya jadi tersentak  apabila kawan saya ini meminta pendapat saya. Saya tidak sanggup memberi pendapat yang menyebelahi ceritanya. Saya kena jujur dengan pendapat saya.

Bagi saya, ibu adalah segalanya. Ya, memang rumit untuk memahami kehendak mereka yang dimamah usia. Kehendak mereka adakalanya di luar kemampuan kita tapi bersandarkan rasa kasih, usahalah untuk menunaikan hajat mereka seperti mana mereka sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa sahaja kemahuan kita dari kecil hingga dewasa. 

Ayat pertama yang keluar dari mulut saya, " Syurga cikgu ada pada ibu cikgu". Terdiam seketika dia mendengar ayat yang keluar daripada mulut saya. Mungkin dia tidak sangka memandangkan umur kami sebaya. Umur sebaya, sudah tentulah fikiran dan target kehidupan pun hampir sama. Sebelum kawan saya bersuara, saya menyambung lagi. " Berapa lama lah umur seperti ibu kita akan bertahan. Mereka telah merasai kehidupan ini hampir dipenghujung jalan. Bukan lama lagi. Tidak ada manusia hidup menongkat langit. Umur saya pun dah separuh abad, inikan pulak ibu kita. Tanpa saya sangka, ayat saya tu membuatkan air mata lelakinya mengalir juga. Dia terus mengangguk-anggukkan kepala. " Ya...ya betul apa yang awak cakap tu. Tiba-tiba je saya rasa berdosa dengan mak saya".

Kita semua manusia yang sangat lemah. Biasalah sesekali kita akan terkeluar dari landasan menuju ke syurga. Sebab itu Allah menurunkan surah Al-Asr. Di dalamnya Allah swt telah mengingatkan supaya kita hendaklah saling berpesan-pesan. Manusia memang selalu alpa dengan suruhan dan tuntutan. Alhamdulillah bila kita  tersedar dari kesilapan, segeralah balik ke pangkal jalan.

Sejujurnya saya bercakap melalui pengalaman. Saya juga ada ibu mentua. Dari awal saya dapat mengesan sikapnya. Sebagai manusia, bohonglah kalau saya tidak ada langsung perasaan marah,kecewa dan sedih pada setiap perlakuannya pada saya. Tapi apabila ada rasa takut pada balasan Allah mengatasi segalanya, saya jadi kerdil di situ. Saya tahu sangat, syurga suami saya ada pada ibunya dan syurga saya pula ada pada suami. Saya tahu suami menyayangi saya dan sekiranya setiap perlakuan ibunya saya bagitahu, sudah pasti saya sengaja menarik suami ke neraka. Allah memang tidak bagi kita banyak pilihan. Hidup di dalam dunia ini penuh dengan peraturan. Dunia bukan untuk kita bebas melakukan apa sahaja mengikut hati dan perasaan. Kita semua akan diadili oleh Tuhan. Berfikirlah untuk melakukan sesuatu dengan memenuhi tuntutan agar kita selamat di 'sana' nanti walaupun terluka di dunia ini.

Tiba-tiba air mata saya mengalir ketika menulis coretan ini. Teringat kata-kata daripada arwah suami,
" Sayang memang isteri yang baik. Abang bersyukur  dapat sayang sebagai isteri. Sayang begitu sabar melayan kerenah emak abang. Belum tentu orang lain boleh menjadi isteri sesabar sayang"

Sebenarnya bukannya saya seorang yang layak mendapat pujian seperti ini daripada seorang suami. Saya pernah menangis , tertekan yang amat sangat atas apa yang pernah berlaku antara saya dengan keluarga suami. Mungkin saya ada kelebihan dalam mengendalikan perasaan yang berkaitan dengan hal seperti ini. Saya selalu berpesan pada diri, jika sayangkan suami , saya harus menjaga semua ini kerana saya tidak mahu mengheret suami ke neraka hanya kerana dia menderhaka dengan ibu sendiri. Isteri boleh dicari jika  buruk di mata suami tapi ibu tetap satu di dunia ini. Apapun, ini cara saya menyayangi suami dan orang lain tentu ada cara masing-masing. Buatlah apa cara sekalipun tetapi jangan sampai kita lupa bahawa Allah itu ada.

Allah Maha Mengetahui

Ahad, 5 Julai 2020

Konflik Hati Dan Takdir

Bismillahirahmanirahim

Takdir Allah tidak pernah salah.
Kadang-kadang hati terlalu degil untuk menerimanya. Bukan tidak yakin, tapi pergelutan antara hati dan takdir sering terjadi. Akhirnya hati terpaksa akui bahawa takdir Allah memang terbaik. Allah menyusun sesuatu bukan mengikut logik akal. Dia maha tahu apa yang yang kita tidak tahu . Akhirnya konflik antara hati dan takdir yang kita rasa sangat sakit sebelum ini, perlahan-lahan akan dapat dirawati. Allahu.


Sesungguhnya hidup ini tidak pernah terlepas dari pelbagai ujian. Walaupun kita tahu, tapi jarang kita membuat persediaan dan persiapan. Kita akur, semua yang kita ada, bukan milik kita tapi yang hairannya kita kecewa bila Allah mengambilnya semula. Kita tamak dengan harta yang sememangnya bukan hak kita. Akhirnya kita menangisi dengan sesunguhnya apa yang hilang.   Kita berperang dengan keadaan yang tidak wajar untuk kita perjuangkan.  Dan, apabila kita cuba mencari solusi, Allah dengan baiknya akan peruntukan masa untuk memberi ruang kepada akal supaya dapat menterjemahkan konsep pinjaman itu sendiri. Perlahan-lahan kita cuba lepaskan dan terima segalanya walaupun masih berperang dengan perasaan. Ya Allah sakitnya hanya Engkau yang tahu. Ampunkan aku kerana hampir-hampir kalah dalam perjuangan ini. Terima kasih Allah kerana Engkau masih memberi masa untuk akal menerpa supaya pergunakanlah sedikit iman yang ada. 

Sungguh, manusia itu tidak kuat sebenarnya. Kekuatan memang tidak diukur dengan tenaga tetapi kekuatan sebenar  apabila kita  menerima takdir dengan berlapang dada. Tidak mengeluh dengan ujian yang melanda. Islam mendidik kita konsep redha namun hakikatnya ramai yang hilang semangat apabila berhadapan dengan ujian kehilangan. Iman hadir sekali sekala untuk memulihkan semangat yang hampir hilang. Begitulah situasi yang kita rasai. Tiada apa yang dapat menenangkan hati melainkan kita kembali semula kepada fitrah kejadian. Berdoa kepadaNya kerana Dialah pemegang hati. Mintalah kepadaNya agar pulihkan semula hati yang yang sedang sarat menanggung kesedihan.
Selalu berpesan pada diri, semua yang kita punyai adalah milik ilahi. Jangan sampai kita lupa berkali-kali, semuanya tiada yang abadi. 

Allah....maafkan aku yang tergolong dalam hamba-hambaMu yang lemah ini. Maafkan aku kerana tidak mendidik hati. Rapuh sungguh hati ini. Kuatkan aku ya Rabbi. Jangan Kau tinggalkan aku bersendiri dalam apa juga keadaan sama ada ketika aku berduka dan bergembira. Kau izinkanlah aku mendekati takdirMu dengan hati yang redha.Jauhkan lah aku dari sifat kufur seperti yang dikehendaki oleh syaitan.

Sungguh
Kau Maha baik. Dalam Kau memberi kesedihan, Kau beri juga penawar yang terkandung dalam ayat-ayat suci al Quran. Cuma manusia sendiri yang tidak cuba mendekati dan mendalaminya. Dalam ramai manusia yang alpa terhadapMu, Kau berikan juga sesuatu yang menjadi asbab untuk manusia kembali mengingatiMu. Kau begitu pemurah memberi pahala di atas semua kebaikan walaupun hanya dengan niat yang belum tentu tertunai. Kau berkira-kira untuk mencatat dosa walaupun sebelah kaki sudah hampir menuju ke neraka. Maafkan aku, ya Allah. 

Kurniakan aku hati yang tenang. Kembalikan semula semangatku yang hampir hilang. Dekatkanlah aku padaMu agar tinggi kebergantunganku padaMu.


Selasa, 30 Jun 2020

Mengapa Tidak Bahagia?



Semua manusia ingin bahagia. Tanyalah pada siapa sahaja.....mereka akan sanggup buat apa sahaja untuk mencapai kebahagiaan. Bagus sebenarnya bagi mereka yang gigih mencari kebahagian tetapi carilah kebahagiaan itu dalam bentuk yang diredhai Tuhan. Bukan mengikut nafsu dan membelakangkan syariat Islam.

Kali ni, saya ingin membawa kalian semua kepada satu persoalan. "Mengapa kita sukar mencapai kebahagiaan?"Persoalan ini kita tidak perlu tanya pada orang lain jika kita sendiri yang rasa tidak bahagia kerana jawapan kepada persoalan itu sebenarnya ada pada diri kita sendiri. Andai di muka bumi ini kita hidup bersendiri, tentulah tidak timbul konflik rasa bahagia itu. Tetapi, hakikatnya kita hidup bermasyarakat maka rasa bahagia itu akan bergetar juga apabila kita selalu membandingkan apa sahaja dengan orang lain. Bukan senang hendak didik hati. Hati tidak pernah menipu diri sendiri walaupun hati mampu menipu orang lain. Zahir nampak bahagia namun hati gundah gulana melihat kelebihan orang lain. Bagaimana kita boleh capai rasa bahagia jika hati selalu berkelana?

Contoh mudah : Kita melihat rakan sekerja. sama 'level' dengan kita mampu memakai kereta mewah sedangkan kita memakai kereta biasa. Hati mula tertanya-tanya kenapa  dan mengapa. Secara tidak sedar, perbandingan ini membuatkan kita mempersoalkan apa yang dia ada, apa yang kita ada. 
Kita melihat pula suami atau isteri jiran sebbelah jauh lebih baik daripada apa yang kita ada. Maka kita akan rasa apa kurangnya kita, dan apa pula lebihnya dia. Pendek kata, semua perkara kita buat perbandingan dan segala yang kita nampak semuanya tidak berpihak kepada kita, Kita kalah setiap kali kita mulakan permainan banding membanding ini dan akhirnya kita akan rasa kecewa dan tidak bahagia.

Sebenarnya, kita kena tahu tidak ada manusia yang ingin mempamerkan perkara yang buruk di khalayak. Apa yang manusia suka tonjolkan kepada dunia luar ialah perkara-perkara yang indah sahaja. Ambil gambar berpelukan dengan pasangan, kemudian ditayangkan di media sosial. Maka kita yang tidak dapat berbuat seperti itu terus melabelkan itulah kebahagiaan. Bolehkah dengan sekali melihat situasi itu, maka kita mampu buat analisis pasangan itu bahagia? Kita hanya melihat pada satu kelebihan sahaja, tanpa kita melihat pula kelebihan yang kita ada. Sebenarnya, kita jangan tertipu dengan apa yang kita lihat. Kebanyakan apa yang orang suka tonjolkan itu adalah berbeza dengan realiti sebenar. Sentiasa melihat kelebihan diri, maka bahagialah yang akan menanti

Hidup ini bukanlah satu pertandingan. Jika kita tetap membandingkan hidup kita dengan orang lain, kita akan berkali-kali berhadapan dengan kegagalan. Belajar mematangkan diri dengan pengalaman kehidupan. Adalah lebih baik kita membanding-bandingkan kehidupan kita dahulu dan sekarang. InshaAllah akan terbit rasa syukur dalam diri kerana kita akan nampak  peningkatan dalam kita menguruskan kehidupan ini. Dari situ, akan terbitlah rasa syukur. Kita akan melihat lebih jauh lagi bahawa bahagia itu ada di dalam diri sendiri.Sentiasa bersyukur dan berlapang dada dengan apa yang ada disamping berusaha meningkatkan diri dalam pelbagai perkara.

Ok semua......
Sebenarnya saya juga bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Selalu melihat kekurangan diri bila dibandingkan dengan orang lain. Terdetik di hati ini, sampai bila saya akan rasa tidak bahagia. Akhirnya saya dapat jawapan itu sendiri apabila saya memandang kelebihan yang ada. Rasa kekurangan dan ketidakcukupan itu hilang bila saya mencapai konsep redha dengan rezeki yang Allah beri.  Saya petik satu ayat dalam surah  ali-imran ayat 139:
' Janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamulah yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman'.
Cuba perhalusi ayat ini, maka inshaAllah bahagia itu akan menanti.



' sesungguhnya Allah itu maha baik'
 

Sabtu, 20 Jun 2020

Terima kasih, Ya Allah

Sungguh...... saya tidak ramai kawan tetapi Allah hadirkan beberapa orang sahabat buat saya. Walaupun tidak ramai, tetapi mereka tetap ada ketika saya dalam kesempitan. Dengan pertolongan Allah jugalah mereka menjadi asbab untuk memudahkan segala kesulitan. Selain dari anak-anak, sahabat merupakan insan yang penting dalam hidup saya. Dan sebab itulah dalam Islam, ada syafaat daripada sahabat-sahabat yang baik di akhirat nanti. Islam juga memandang tinggi peranan sahabat - sahabat yang baik. 
Mungkin saya kurang bernasib baik kerana sejak kecil saya disisihkan oleh keluarga sendiri dan akhirnya dibuang sepenuhnya atas alasan yang sangat tidak dapat saya terima.  Jangan ditanya kenapa kerana semuanya itu biarlah Allah adili di akhirat nanti. Sebab berkaitan keluarga, lebih baik saya berdiam diri. Apapun, saya tidak berdendam dengan nereka kerana saya percaya disebabkan kedhaifan dan kejahilan, mereka ada alasan tersendiri untuk tidak menerima saya. Serahkan sahaja pada Allah kerana Dialah pemegang hati. Jika Dia memberi hidayah kepada sesiapa yang diingini, inshaAllah saya akan diterima kembali oleh keluarga sendiri. Jangan putus berdoa dan sentiasa berbaik sangka dengan Allah.

Saya mula rasa disayangi apabila saya menamatkan zaman gadis saya. Saya mendapat suami yang sangat menyayangi saya seadanya. Saya dimanja seadanya mengikut kemampuannya. Bersamanya saya memiliki 3 orang cahaya mata dan masing-masing sekarang sudah pun dewasa. Rasa bangga kerana saya mampu membesarkan mereka bersama suami tanpa ada nasihat dan panduan lisan daripada orang tua kami. Kami mengambil panduan membesarkan anak-anak dengan melihat contoh-contoh dari orang-orang sekeliling dan melalui bacaan. Maaf....saya belum bersedia untuk bercakap soal suami kerana masih belum bersedia untuk mengulas lebih mendalam tentangnya kerana kesedihan masih terasa hingga kini setelah Allah lebih menyayanginya. Allahu.......hanya Allah sahaja yang tahu apabila Dia mengambil kembali apa yang Dia mahu. Sesungguhnya semua yang ada di dunia ini adalah pinjaman belaka. Dia berhak atas segalanya. Terima kasih ya Allah Kau meminjamkan insan yang aku sayangi ini kurang 11 hari untuk capai 30 tahun.

Kehadiran dua tiga orang sahabat, menambahkan lagi rasa diri ini disayangi sekaligus menunjukkan kebenaran yang Allah maha adil sifatnya. Pengasih dan penyayang. Dia menarik sesuatu yang sangat saya inginkan tetapi Dia ganti semula dengan kehadiran sahabat. Saya hilang keluarga tetapi Allah menggantikan kehadiran sahabat-sahabat yang mampu membentuk hubungan kami seperti dalam satu keluarga yang besar. Segala kekurangan Allah 'top up' dan kami saling melengkapi. Terima kasih Allah kerana memberi rezeki ini pada saya. Dan terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang hadir tatkala saya sangat memerlukan pertolongan. Memang besar peranan sahabat....bukan setakat di dunia, malah di akhirat juga. Carilah sahabat yang benar-benarnya berperanan sebagai seorang sahabat kerana sahabat yang baik akan mencari sahabatnya jika sahabatnya tiada di syurga.

Isnin, 27 April 2020

Ujian Kita Bersama


Pukul 3.25 pagi, handphone saya berbunyi menandakan satu mesej masuk melalui whatsapp. Dari skrin luar, saya melihat nama murid saya tertera. Hairan juga, waktu begini dia boleh hubungi saya. Apa yang penting sangat? Memandangkan saya belum tidur, saya buka whatsapp tersebut. Rupanya, dia ingin bertanya satu soalan yang mungkin baginya agak penting untuk dia tahu hingga menyebabkan tidurnya terganggu pada hari itu.
Saya kongsikan soalan tersebut di sini:

“ Cikgu, saya pernah dengar satu ceramah dari seorang ustaz. Katanya bila Allah murka, Allah akan turunkan musibah atas perbuatan  manusia yang jahat. Tapi adilkah orang-orang baik pun akan terkena sekali? Contohnya apa yang berlaku sekarang ni.” 

Saya tidak terus menjawab soalan tersebut sebab  kalau hendak dihuraikan panjang lebar, rasanya tidak sesuai dalam whatsapp. Saya cuba mencari jawapan yang ringkas tapi boleh difahami oleh murid saya mengikut tahap umurnya yang baru berusia 16 tahun.

“ Sebab orang-orang yang baik, tidak berani menegur atau tidak ambil peduli perbuatan orang yang jahat. Malah ada yang menyokong lagi”

Mungkin jawapan saya terlalu ringkas, maka dia bertanya beberapa soalan lagi. Memandangkan waktu yang kurang sesuai, saya KIV dahulu soalannya dan memintanya tidur dulu dan berjanji akan menjawab soalan itu nanti.
Bagus soalannya. Mungkin dia bertanya berdasarkan apa yang berlaku pada dunia ketika ini.

 Sebenarnya, soalan seperti ini  lebih sempurna jawapannya kalau dijawab oleh orang-orang yang mahir dalam agama. Tapi memandangkan kita semua sebagai khalifah, saya cuba  menjawabnya mengikut pandangan peribadi saya di sini. 

Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu kesilapan yang berkaitan dengan hukum-hakam, maka Baginda SAW akan menegurnya serta menerangkan hukumnya. Contohnya kisah yang terdapat di dalam hadis berikut:
Maksudnya: “Daripada Jarhad RA bahawa Rasulullah SAW melintasinya sedang dia mendedahkan pahanya. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Tutuplah pahamu kerana ia adalah aurat.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa paha yang terdedah itu adalah aurat yang wajib ditutup oleh setiap orang yang beriman sekalipun dia seorang lelaki, kerana aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut.
Masalahnya di sini, berapa ramai antara kita termasuk saya berani menegur?Ramai antara kita akan mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu masuk campur dengan urusan orang lain. Kita ambil saja contoh yang tular di media sosial  sekarang ini. Pasti kita tidak dapat lari dari melihat gambar atau menonton video yang tidak sewajarnya di situ. Tambah pula adanya aplikasi tik tok yang menjadi kegilaan terutama remaja sekarang. Jika perkara yang baik dipertontonkan, alhamdulillah. Kita dapat berkongsi ilmu. Dakwah boleh disebarkan di situ jika kita menjadikannya sebagai medium untuk berdakwah.

Apa yang menyedihkan, di media-media sosial ini juga boleh menarik beribu malah berjuta manusia untuk mendapat dosa dengan begitu mudah sekali. Berapa ramai yang berani menasihati atau menegur bila melihat individu boleh mengeluarkan bahasa-bahasa kesat,mencarut,memaki sesama manusia sesuka hati? Kita dapat lihat  bagaimana remaja mendedahkan aurat secara terlampau dan menari mengikut alunan selawat dan zikir. Kita menyaksikan remaja mempersendakan cara solat dan dijadikan bahan lawak tanpa sedikit pun rasa bersalah terhadap Allah SWT. Kita juga melihat  perlakuan beberapa transgender yang menyakitkan mata. Berpakaian menjolok mata, bangga menjadi manusia yang jelas dilaknat oleh Allah SWT. Malah mereka berani secara terang-terangan melakukan sesuatu yang mencabar kesucian Islam itu sendiri. Allah hu.

Apa yang lebih mengejutkan semua perlakuan tersebut, mendapat jumlah ‘like’ yang sangat menakjubkan. Dan, secara jujurnya saya jadi tidak faham mengapa masyarakat boleh menjadi pengikut kepada manusia-manusia berkenaan hingga jumlah ‘followers’nya saja begitu ramai. Bukankah semua itu tanda sokongan mereka kepada golongan tersebut. Malah, setiap ‘posting’ yang begitu nyata tersasar dari tuntuan agama, masih ada lagi yang memberi kata puji-pujian.

Sebenarnya, golongan-golongan tersebut hadir, bukan sahaja ujian untuk dirinya. Malah ia merupakan ujian terbesar buat kita semua. Individu yang melakukan perkara mungkar tersebut berjaya mengheret kita semua kepada kemurkaan Allah SWT. Kita mendapat dosa atas dosa mereka tanpa kita sedar. Kita menyokong mereka dengan memberi simbol ‘like’ di atas setiap perlakuan mereka. Kita juga tidak mengamalkan seperti yang disuruh oleh Allah SWT dalam surah Al- Asr yang antaranya meminta kita saling berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.


Memandangkan saya juga pengguna Facebook dan Instagram, maka semua perkara di atas dapat saya saksikan sendiri dan lebih menghancurkan hati adakalanya terjumpa dalam kalangan murid sendiri. Tudung dan aurat tidak dipelihara dengan sebaiknya. Berpegang tangan dengan pasangan menjadi kebanggaan. Facebook dijadikan medan serangan lisan atas rasa tidak puas hati tanpa memikirnya berapa ribu mata yang membaca dan memerhati.  Rasa hancur itu menjadi parah kerana ramai pula yang menyukai dan memuji-muji daripada menegur perbuatan yang nyata salah dari segi syariat. Kita lupa, kewajipan mengubah kemungkaran itu sangat dituntut dalam Islam dan ia bukan tugas para ulama dan para ustaz  sahaja, malah ia merupakan tanggungjawab kita bersama. Adakah kita semua menggunapakai  tahap keimanan kita seperti yang terkandung dalan sebuah hadis, antara maksudnya “……….dan apabila tidak mampu lagi, maka tegurlah dengan hati, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman”. 

Jadi di sini, usah ditanya kenapa bala atau bencana itu turun tidak memilih manusia. Bencana yang Allah turunkan ini adalah sebagai peringatan untuk kita semua. Kita semua adalah pendosa. Sebagai seorang mukmin, kita harus meyakini setiap yang berlaku mempunyai sebab tersurat dan tersirat yang perlu dimuhasabah bersama.
Sesungguhnya, orang yang memberi nasihat, bukan bererti dia manusia sempurna. Maka sebab itulah Allah mengingatkan kita saling berpesan kerana sifat manusia memang selalu lupa dan selalu membuat kesilapan berulang kali. Dan, kita  jangan pula memandang orang yang membuat dosa itu sebagai pendosa selamanya kerana boleh jadi pendosa itu lebih dekat dengan Allah kerana adanya taubat dan orang-orang yang baik pula makin jauh dari Allah kerana adanya sikap riak. Wallahualam

Didiklah Hati


Disebabkan susah nak tidur, banyak pula masa saya menulis awal pagi ni. Rasanya tulisan saya ni tidak beremosi cuma tangan rasa hendak sangat menulis tentang cikgu ni.

Dalam suasana yang kritikal begini, sewajarnya fokus kita kepada masalah utama yang dihadapi oleh dunia iaitu covid 19. Namun begitu, banyak pula isu yang timbul hingga dapat mengalih pandangan kita kepada isu-isu baru yang dicipta. 

 Ada yang saya baca dan ada yang saya lihat sekilas pandang sahaja. Walau bagaimanapun, pada waktu cuti PKP ni, guru-guru tetap sibuk menguruskan pengajaran dan pembelajaran anak-anak didik dengan menggunakan pelbagai medium supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Dalam pada itu saya yang banyak masa  berehat-rehat ni,sempat jugalah, membaca coretan-coretan individu yang tidak senang dengan kerjaya guru kerana beranggapan kerjaya guru ni  banyak goyang kaki, banyak cuti tetapi masih dapat gaji. 

Ada tuduhan yang lebih kejam lagi dengan melabelkan guru makan gaji buta. Saya rasa, tak ramai guru nak respon  tentang perkara ni sebab menyedari kejahilan mereka tentang kerjaya ini. Maklumlah yang menulis kenyataan tersebut memang pasti bukan dalam kalangan warga guru. Memang sifat manusia suka acah-acah serba tahu walaupun mereka tidak pernah berada dalam golongan warga pendidik.

Yang menghairankan, kalau penulis yang acah tahu ni seorang yang beragama Islam, sewajarnya mereka tahu di mana Islam meletakkan nilai seorang guru itu dan bukan nilai seorang individu.
Bacalah sebuah buku kecil yang bertajuk Ayyuhal Walad hasil nukilan Imam al-Ghazali yang menekankan isu penghormatan murid kepada guru dan juga adab pelajar kepada guru. Rasanya tidak perlu mengupas siapa guru, peranan guru dan sebagainya kerana sikap yang buruk dibawa oleh segelintir guru itu adalah mewakili dirinya sendiri dan bukan mewakili kerjayanya sebagai guru.

 Namun, penulis yang lantang menulis  banyaknya buruk tentang guru telah melukakan hati ramai guru dan sedikit sebanyak mencemarkan kerjaya guru itu sendiri.
Untuk pengetahuan mereka yang bukan guru, dan khasnya kepada penulis yang banyak menulis tentang keburukan manusia bernama guru, kami yang cikgu ni, tidak melatah pun dengan apa yang kalian tulis sebab kami lebih sedia maklum akan bebanan tugas kami. Jadi, kami tidak ada niat pun untuk menyenaraikan satu persatu supaya difahami. Rasanya memang tidak perlu. 

Saya yakin, kita semua pernah bergelar murid/pelajar satu ketika dahulu. Kita sendiri tahu tentang kesungguhan manusia yang bernama guru cuma kalau ada seorang dua yang bersikap seperti yang dicanangkan, itu adalah perkara biasa . Macam ibu bapa juga. Bukan semua ibu bapa menjalankan tanggungjawab yang baik kepada anak-anak mereka. Saya sendiri, adakalanya ‘tidak cukup telinga’ mendengar luahan hati murid saya tentang sikap ibu dan ayah mereka.  Adakalanya saya luangkan masa berjam-jam lamanya untuk mendengar kesedihan murid saya yang tidak dapat berkongsi rasa dengan sesiapa. Ada ketika pula, saya boleh berada di luar kawasan sekolah hanya untuk menjadi pendengar setia berkaitan masalah mereka. Mengapa mereka ini mencari guru untuk tujuan semua itu? Jawapannya, ada kekurangan bagi pihak ibu bapa, bukan?  Saya yakin, berapa ramai lagi guru-guru di luar sana mengalami pengalaman yang sama. Justeru, kelemahan pada setiap individu bukan hanya terletak pada kerjaya seorang guru.


 Kalau ada pun guru yang culas, tetapi bilangan guru yang sedemikian tidaklah ramai. Saya akui memang ada sorang dua yang bersikap sedemikian. Tapi adilkah kita mengambil contoh yang kurang baik itu sebagai satu alasan untuk kita memanipulasikan pemikiran orang lain seolah-olah semua guru bersikap seperti itu.

Ada juga penulis hebat mencadangkan gaji guru dipotong memandangkan guru-guru ketika ini goyang kaki di rumah. Bab yang ni pun, saya tidak akan mengulas apa-apa. Biarlah apa saja persepsi penulis terlibat  beranggapan sedemikian. Cuma saya ingin menjelaskan di sini, duit gaji yang kami dapat setiap bulan, ada hak orang lain untuk dikongsi. Ekoran dari fakta itu, cikgu tidak pernah berkira pun bila duit cikgu keluar untuk murid mereka. Sebagai orang Islam, kita semua tahu, tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu tahu. Jadi, perkara macam ni, tidak ada guru yang akan wara-warakan kepada umum walaupun pelbagai syak wasangka orang luar terhadap guru. Tidak perlulah kita hendak menjadi professor serba tahu hingga terlalu banyak fakta salah yang kita lakarkan hingga menjadi bahan bacaan umum walhal cerita yang kita ketengahkan itu sama sekali tidak benar. Apa yang ditakuti, semua fakta tersebut menjadi fitnah. Pernah juga saya terbaca seorang penulis hebat menulis di laman sosial dengan menuduh guru menggunakan duit PIBG untuk mengadakan jamuan akhir tahun di hotel. Kadang-kadang, rasa lucu mengatasi rasa marah dengan kenyataan tersebut. Benarlah ayat yang  selalu kita dengar, jika tidak tahu sesuatu perkara lebih baik berdiam. 

Rasullullah SAW memberi amaran tentang bahayanya lidah kerana ia merupakan salah satu perkara yang paling Baginda khuatirkan. Salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Baginda menjawab: "Katakanlah, Tuhanku adalah Allah , lalu istiqomahlah”. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau khuatirkan atasku? ". Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda:" Ini . " (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Rasanya, dalam suasana yang tidak menentu ini, lebih baiklah kita semua berbuat sesuatu yang menuju keredhaan Allah SWT daripada kita mencetuskan sesuatu yang tidak ada faedah langsung untuk diri sendiri dan orang lain . Saling berpesan-pesan dalam kebaikan adalah jauh lebih baik km daripada menulis sesuatu yang melukakan. Apa yang saya tuliskan ini juga adalah pesanan untuk diri sendiri kerana sifat manusia memang selalu melakukan kesalahan berulang kali.