Isnin, 27 April 2020

Ujian Kita Bersama


Pukul 3.25 pagi, handphone saya berbunyi menandakan satu mesej masuk melalui whatsapp. Dari skrin luar, saya melihat nama murid saya tertera. Hairan juga, waktu begini dia boleh hubungi saya. Apa yang penting sangat? Memandangkan saya belum tidur, saya buka whatsapp tersebut. Rupanya, dia ingin bertanya satu soalan yang mungkin baginya agak penting untuk dia tahu hingga menyebabkan tidurnya terganggu pada hari itu.
Saya kongsikan soalan tersebut di sini:

“ Cikgu, saya pernah dengar satu ceramah dari seorang ustaz. Katanya bila Allah murka, Allah akan turunkan musibah atas perbuatan  manusia yang jahat. Tapi adilkah orang-orang baik pun akan terkena sekali? Contohnya apa yang berlaku sekarang ni.” 

Saya tidak terus menjawab soalan tersebut sebab  kalau hendak dihuraikan panjang lebar, rasanya tidak sesuai dalam whatsapp. Saya cuba mencari jawapan yang ringkas tapi boleh difahami oleh murid saya mengikut tahap umurnya yang baru berusia 16 tahun.

“ Sebab orang-orang yang baik, tidak berani menegur atau tidak ambil peduli perbuatan orang yang jahat. Malah ada yang menyokong lagi”

Mungkin jawapan saya terlalu ringkas, maka dia bertanya beberapa soalan lagi. Memandangkan waktu yang kurang sesuai, saya KIV dahulu soalannya dan memintanya tidur dulu dan berjanji akan menjawab soalan itu nanti.
Bagus soalannya. Mungkin dia bertanya berdasarkan apa yang berlaku pada dunia ketika ini.

 Sebenarnya, soalan seperti ini  lebih sempurna jawapannya kalau dijawab oleh orang-orang yang mahir dalam agama. Tapi memandangkan kita semua sebagai khalifah, saya cuba  menjawabnya mengikut pandangan peribadi saya di sini. 

Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu kesilapan yang berkaitan dengan hukum-hakam, maka Baginda SAW akan menegurnya serta menerangkan hukumnya. Contohnya kisah yang terdapat di dalam hadis berikut:
Maksudnya: “Daripada Jarhad RA bahawa Rasulullah SAW melintasinya sedang dia mendedahkan pahanya. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Tutuplah pahamu kerana ia adalah aurat.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa paha yang terdedah itu adalah aurat yang wajib ditutup oleh setiap orang yang beriman sekalipun dia seorang lelaki, kerana aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut.
Masalahnya di sini, berapa ramai antara kita termasuk saya berani menegur?Ramai antara kita akan mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu masuk campur dengan urusan orang lain. Kita ambil saja contoh yang tular di media sosial  sekarang ini. Pasti kita tidak dapat lari dari melihat gambar atau menonton video yang tidak sewajarnya di situ. Tambah pula adanya aplikasi tik tok yang menjadi kegilaan terutama remaja sekarang. Jika perkara yang baik dipertontonkan, alhamdulillah. Kita dapat berkongsi ilmu. Dakwah boleh disebarkan di situ jika kita menjadikannya sebagai medium untuk berdakwah.

Apa yang menyedihkan, di media-media sosial ini juga boleh menarik beribu malah berjuta manusia untuk mendapat dosa dengan begitu mudah sekali. Berapa ramai yang berani menasihati atau menegur bila melihat individu boleh mengeluarkan bahasa-bahasa kesat,mencarut,memaki sesama manusia sesuka hati? Kita dapat lihat  bagaimana remaja mendedahkan aurat secara terlampau dan menari mengikut alunan selawat dan zikir. Kita menyaksikan remaja mempersendakan cara solat dan dijadikan bahan lawak tanpa sedikit pun rasa bersalah terhadap Allah SWT. Kita juga melihat  perlakuan beberapa transgender yang menyakitkan mata. Berpakaian menjolok mata, bangga menjadi manusia yang jelas dilaknat oleh Allah SWT. Malah mereka berani secara terang-terangan melakukan sesuatu yang mencabar kesucian Islam itu sendiri. Allah hu.

Apa yang lebih mengejutkan semua perlakuan tersebut, mendapat jumlah ‘like’ yang sangat menakjubkan. Dan, secara jujurnya saya jadi tidak faham mengapa masyarakat boleh menjadi pengikut kepada manusia-manusia berkenaan hingga jumlah ‘followers’nya saja begitu ramai. Bukankah semua itu tanda sokongan mereka kepada golongan tersebut. Malah, setiap ‘posting’ yang begitu nyata tersasar dari tuntuan agama, masih ada lagi yang memberi kata puji-pujian.

Sebenarnya, golongan-golongan tersebut hadir, bukan sahaja ujian untuk dirinya. Malah ia merupakan ujian terbesar buat kita semua. Individu yang melakukan perkara mungkar tersebut berjaya mengheret kita semua kepada kemurkaan Allah SWT. Kita mendapat dosa atas dosa mereka tanpa kita sedar. Kita menyokong mereka dengan memberi simbol ‘like’ di atas setiap perlakuan mereka. Kita juga tidak mengamalkan seperti yang disuruh oleh Allah SWT dalam surah Al- Asr yang antaranya meminta kita saling berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.


Memandangkan saya juga pengguna Facebook dan Instagram, maka semua perkara di atas dapat saya saksikan sendiri dan lebih menghancurkan hati adakalanya terjumpa dalam kalangan murid sendiri. Tudung dan aurat tidak dipelihara dengan sebaiknya. Berpegang tangan dengan pasangan menjadi kebanggaan. Facebook dijadikan medan serangan lisan atas rasa tidak puas hati tanpa memikirnya berapa ribu mata yang membaca dan memerhati.  Rasa hancur itu menjadi parah kerana ramai pula yang menyukai dan memuji-muji daripada menegur perbuatan yang nyata salah dari segi syariat. Kita lupa, kewajipan mengubah kemungkaran itu sangat dituntut dalam Islam dan ia bukan tugas para ulama dan para ustaz  sahaja, malah ia merupakan tanggungjawab kita bersama. Adakah kita semua menggunapakai  tahap keimanan kita seperti yang terkandung dalan sebuah hadis, antara maksudnya “……….dan apabila tidak mampu lagi, maka tegurlah dengan hati, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman”. 

Jadi di sini, usah ditanya kenapa bala atau bencana itu turun tidak memilih manusia. Bencana yang Allah turunkan ini adalah sebagai peringatan untuk kita semua. Kita semua adalah pendosa. Sebagai seorang mukmin, kita harus meyakini setiap yang berlaku mempunyai sebab tersurat dan tersirat yang perlu dimuhasabah bersama.
Sesungguhnya, orang yang memberi nasihat, bukan bererti dia manusia sempurna. Maka sebab itulah Allah mengingatkan kita saling berpesan kerana sifat manusia memang selalu lupa dan selalu membuat kesilapan berulang kali. Dan, kita  jangan pula memandang orang yang membuat dosa itu sebagai pendosa selamanya kerana boleh jadi pendosa itu lebih dekat dengan Allah kerana adanya taubat dan orang-orang yang baik pula makin jauh dari Allah kerana adanya sikap riak. Wallahualam

Didiklah Hati


Disebabkan susah nak tidur, banyak pula masa saya menulis awal pagi ni. Rasanya tulisan saya ni tidak beremosi cuma tangan rasa hendak sangat menulis tentang cikgu ni.

Dalam suasana yang kritikal begini, sewajarnya fokus kita kepada masalah utama yang dihadapi oleh dunia iaitu covid 19. Namun begitu, banyak pula isu yang timbul hingga dapat mengalih pandangan kita kepada isu-isu baru yang dicipta. 

 Ada yang saya baca dan ada yang saya lihat sekilas pandang sahaja. Walau bagaimanapun, pada waktu cuti PKP ni, guru-guru tetap sibuk menguruskan pengajaran dan pembelajaran anak-anak didik dengan menggunakan pelbagai medium supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Dalam pada itu saya yang banyak masa  berehat-rehat ni,sempat jugalah, membaca coretan-coretan individu yang tidak senang dengan kerjaya guru kerana beranggapan kerjaya guru ni  banyak goyang kaki, banyak cuti tetapi masih dapat gaji. 

Ada tuduhan yang lebih kejam lagi dengan melabelkan guru makan gaji buta. Saya rasa, tak ramai guru nak respon  tentang perkara ni sebab menyedari kejahilan mereka tentang kerjaya ini. Maklumlah yang menulis kenyataan tersebut memang pasti bukan dalam kalangan warga guru. Memang sifat manusia suka acah-acah serba tahu walaupun mereka tidak pernah berada dalam golongan warga pendidik.

Yang menghairankan, kalau penulis yang acah tahu ni seorang yang beragama Islam, sewajarnya mereka tahu di mana Islam meletakkan nilai seorang guru itu dan bukan nilai seorang individu.
Bacalah sebuah buku kecil yang bertajuk Ayyuhal Walad hasil nukilan Imam al-Ghazali yang menekankan isu penghormatan murid kepada guru dan juga adab pelajar kepada guru. Rasanya tidak perlu mengupas siapa guru, peranan guru dan sebagainya kerana sikap yang buruk dibawa oleh segelintir guru itu adalah mewakili dirinya sendiri dan bukan mewakili kerjayanya sebagai guru.

 Namun, penulis yang lantang menulis  banyaknya buruk tentang guru telah melukakan hati ramai guru dan sedikit sebanyak mencemarkan kerjaya guru itu sendiri.
Untuk pengetahuan mereka yang bukan guru, dan khasnya kepada penulis yang banyak menulis tentang keburukan manusia bernama guru, kami yang cikgu ni, tidak melatah pun dengan apa yang kalian tulis sebab kami lebih sedia maklum akan bebanan tugas kami. Jadi, kami tidak ada niat pun untuk menyenaraikan satu persatu supaya difahami. Rasanya memang tidak perlu. 

Saya yakin, kita semua pernah bergelar murid/pelajar satu ketika dahulu. Kita sendiri tahu tentang kesungguhan manusia yang bernama guru cuma kalau ada seorang dua yang bersikap seperti yang dicanangkan, itu adalah perkara biasa . Macam ibu bapa juga. Bukan semua ibu bapa menjalankan tanggungjawab yang baik kepada anak-anak mereka. Saya sendiri, adakalanya ‘tidak cukup telinga’ mendengar luahan hati murid saya tentang sikap ibu dan ayah mereka.  Adakalanya saya luangkan masa berjam-jam lamanya untuk mendengar kesedihan murid saya yang tidak dapat berkongsi rasa dengan sesiapa. Ada ketika pula, saya boleh berada di luar kawasan sekolah hanya untuk menjadi pendengar setia berkaitan masalah mereka. Mengapa mereka ini mencari guru untuk tujuan semua itu? Jawapannya, ada kekurangan bagi pihak ibu bapa, bukan?  Saya yakin, berapa ramai lagi guru-guru di luar sana mengalami pengalaman yang sama. Justeru, kelemahan pada setiap individu bukan hanya terletak pada kerjaya seorang guru.


 Kalau ada pun guru yang culas, tetapi bilangan guru yang sedemikian tidaklah ramai. Saya akui memang ada sorang dua yang bersikap sedemikian. Tapi adilkah kita mengambil contoh yang kurang baik itu sebagai satu alasan untuk kita memanipulasikan pemikiran orang lain seolah-olah semua guru bersikap seperti itu.

Ada juga penulis hebat mencadangkan gaji guru dipotong memandangkan guru-guru ketika ini goyang kaki di rumah. Bab yang ni pun, saya tidak akan mengulas apa-apa. Biarlah apa saja persepsi penulis terlibat  beranggapan sedemikian. Cuma saya ingin menjelaskan di sini, duit gaji yang kami dapat setiap bulan, ada hak orang lain untuk dikongsi. Ekoran dari fakta itu, cikgu tidak pernah berkira pun bila duit cikgu keluar untuk murid mereka. Sebagai orang Islam, kita semua tahu, tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu tahu. Jadi, perkara macam ni, tidak ada guru yang akan wara-warakan kepada umum walaupun pelbagai syak wasangka orang luar terhadap guru. Tidak perlulah kita hendak menjadi professor serba tahu hingga terlalu banyak fakta salah yang kita lakarkan hingga menjadi bahan bacaan umum walhal cerita yang kita ketengahkan itu sama sekali tidak benar. Apa yang ditakuti, semua fakta tersebut menjadi fitnah. Pernah juga saya terbaca seorang penulis hebat menulis di laman sosial dengan menuduh guru menggunakan duit PIBG untuk mengadakan jamuan akhir tahun di hotel. Kadang-kadang, rasa lucu mengatasi rasa marah dengan kenyataan tersebut. Benarlah ayat yang  selalu kita dengar, jika tidak tahu sesuatu perkara lebih baik berdiam. 

Rasullullah SAW memberi amaran tentang bahayanya lidah kerana ia merupakan salah satu perkara yang paling Baginda khuatirkan. Salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Baginda menjawab: "Katakanlah, Tuhanku adalah Allah , lalu istiqomahlah”. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau khuatirkan atasku? ". Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda:" Ini . " (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Rasanya, dalam suasana yang tidak menentu ini, lebih baiklah kita semua berbuat sesuatu yang menuju keredhaan Allah SWT daripada kita mencetuskan sesuatu yang tidak ada faedah langsung untuk diri sendiri dan orang lain . Saling berpesan-pesan dalam kebaikan adalah jauh lebih baik km daripada menulis sesuatu yang melukakan. Apa yang saya tuliskan ini juga adalah pesanan untuk diri sendiri kerana sifat manusia memang selalu melakukan kesalahan berulang kali.