Sabtu, 13 Februari 2021

Kerana Syurga Itu Mahal Harganya

 Sungguh....syurga itu mahal harganya. Tidak mungkin kita tidak diberi ujian sebelum kita melangkah masuk ke syurga Allah. 

Perjalanan menuju keredhaanNya itu amat sukar, pahit, melukakan dan menyedihkan. Ada ketikanya kita diuji berkaitan dengan keimanan, diambil semula orang yang disayang, diberi sakit yang berpanjangan. Pendek kata, semuanya menuntut kesabaran dan keredhaan. Jangan ada sekelumit pun perasaan berburuk sangka dengan takdir Allah walaupun syaitan tidak berhenti-henti memesongkan aqidah.


Bicara kali ini terlalu sukar untuk dirungkaikan apabila berkaitan dengan ibu yang melahirkan. Kedudukan ibu terlalu istimewa dan tidak boleh dipertikaikan  kerana Allah telah meletakkan darjat seorang ibu terlalu tinggi dan istimewa.  Malah durhaka kepada ibu, disegerakan pembalasannya di dunia. 


"Bolehkah anak merajuk dengan ibu sendiri kerana merasakan diri tidak disayangi?" Satu soalan telah dikemukakan dalam satu majlis ilmu dan jawapan bagi persoalan itu dijawab oleh  ustazah Asni Abu Mansur menyebabkan saya terpempan seketika. Subhanallah, Maha Suci Allah, tinggi sungguh darjat seorang ibu kerana anak tiada hak untuk merajuk pada ibu sendiri. Benarlah Islam mendidik kita agar memartabatkan kedudukan ibu. Saya pinjam kata-kata daripada  ustazah ini untuk meredakan perasaan seorang bekas pelajar saya yang merasakan perkara yang sama. Panjang lebar dia menceritakan kisahnya tentang sikap ibu yang tidak menerima kehadirannya sejak kecil lagi. Dia selalu membayangkan suatu hari nanti, ibunya akan mendepakan kedua-dua belah tangan sebagai isyarat untuk memeluknya seperti cerita-cerita drama yang pernah ditontonnya sebelum ini. Tapi, angan-angan dan harapan itu sedikit demi sedikit hilang ditelan masa dan usia.


Tatkala saya cuba meyakinan dia bahawa tiada ibu yang membenci anaknya dengan pantasnya dia menepis kata-kata saya. 30 tahun sudah cukup baginya untuk membuat penilaian siapa dia di mata ibunya . Dari ayat-ayat yang keluar dari bibirnya,  yakinlah saya betapa parahnya dia menanggung kesedihan atas sikap ibu yang melahirkannya di dunia ini.  Akhirnya saya akur akan semua kenyataan. Sememangnya  tidak ada yang mustahil di dunia ini. 


Menurutnya lagi, erti bahagia mula dikecapi setelah dia berumah tangga. Allah menjodohkannya dengan seorang lelaki yang benar-benar menyayanginya. Cinta sang suami menyebabkan dia tidak lagi mengharapkan kasih keluarga.  Semakin mengharap, semakin sakit dan semakin jauh 'rasa' itu pergi.  Namun, sesekali rasa sedih menyantuni hati.


Dek kerana ingin tahu, saya mencelah juga. Mengapa ibunya sedemikian rupa. Dia sendiri tidak dapat menjawab soalan saya  kerana tidak ada satu ayat pun yang keluar daripada mulut ibu atau ayahnya mengapa dia yang menjadi sasaran sedemikian rupa. Apa yang pasti,  sikap pilih kasih itu jelas kelihatan sejak dia mula boleh berfikir dengan otak yang waras.  Dia memberi contoh-contoh yang jelas dan memang mustahil seorang anak sengaja mereka cerita hanya sekadar menagih simpati manusia. 

Sesekali saya melihat dia menyeka air mata kerana tidak tertanggung menahan kesedihan. Demi Allah, saya sangat memahami penderitaan yang sarat ditanggungnya selama ini. Cuma untuk menyatakannya dengan ayat, mungkin tidak dapat menyakinkannya kerana berkata-kata itu memang mudah. Sejauh mana memahami keadaan itulah yang sukar kerana masyarakat kebiasaanya lebih cenderung menyalahkan anak kerana wujudnya istilah 'anak durhaka' Setiap kali berlaku perselisihan antara anak dan ibu, maka anaklah yang akan jadi sasaran utama. Manusia memang sudah meletakkan awal-awal kesalahan itu sebelum diadili. Mentua dan menantu, pasti mentua lah yang sering dipersalahkan. Nasib ibu tiri pula, tidak pernah terbela walaupun ada saja ibu tiri yang baik hatinya. Bila berlaku penceraian, isteri sahajalah yang tidak pandai menghias diri dan rupa. Begitulah kejamnya hukuman manusia.

 

Saya menarik nafas yang panjang lalu  mengatur bicara. Perkara yang telah berlaku,  pasti tidak terdaya untuk memutar waktu. Semuanya terjadi bukan sekadar ujian malah ia juga boleh memberi pengajaran. Positifkan diri untuk terima semua ini agar ia menjadi garis panduan untuk kita menjadi ibu yang terbaik di mata anak-anak sendiri. Kita cari dan pandang yang baik-baik dalam setiap kesedihan yang melanda. Memang sedih bila kita meratapi kehilangan. Lebih parah lagi, hakikatnya masih ada tapi seperti tiada. Namun, kita tidak berdaya untuk mengubah hati manusia. Serahkan semua pada DIA. Hak kita hanya berdoa. Ini bukan jawapan klise kerana senjata orang mukmin adalah doa. Kuasa doa ini memang hebat. Cuma cepat atau lambat. Kita dituntut untuk bersabar kerana sabar itu memang tidak ada batasnya. 


Allah mentakdirkan sesuatu penuh dengan rahsia disebaliknya. Kalau takdir itu berpihak kepada kita, tentu kita tidak dapat menikmati kemanisan dalam setiap kepahitan yang berlaku. Teruskan pandang kehadapan dan cuba perbaiki setiap kekurangan yang kita alami agar kita menjadi lebih baik untuk masa hadapan. Kita mulakan azam  untuk kita menjadi yang terbaik kerana mungkin Allah telah memilih kita untuk menjadi pendengar setia pada setiap cerita duka.


Kita hanya mampu meletakkan harapan yang tinggi tapi perbuatan untuk merealisasikannya amat terbatas. Bagaimana boleh kita membolak balikkan hati, menukar takdir yang telah tersurat sejak azali? Tiada pilihan yang kita ada setelah puas berusaha. Dan akhirnya kita pasti mencari DIA untuk bergantung harap. Seandainya tidak seperti yang kita inginkan maka yakinlah Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.


Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Engkau yang memberiku kelancaran berbicara, namun hakikatnya hati ini juga rapuh dijerut rasa.

Wahai Pemegang hati,

tetapkanlah hatiku dalam ad-DeenMU.....

Wahai Pemegang hati,

Tetapkan aku dalam imanku. Berbaik sangka apa saja yang telah  ditakdirkan untukku.

Jumaat, 12 Februari 2021

Terapi Minda


 Menanam pokok dan melihat pokok-pokok yang ditanam mampu menjadi  terapi minda terbaik. Bayangkan kepenatan bekerja seharian, akan hilang dengan melihat pokok-pokok yang  segar. Jiwa menjadi tenang dan secara tidak langsung ia mampu menjadikan diri kita 'fresh" kembali. Jom lihat pokok-pokok yang ada di sudut kecil rumah saya.



Isnin, 26 Oktober 2020

Kasih Allah dan RahsiaNya


 Bismillahirahmanirrahim.

Perbualan melalui whatsapp dengan anak agak menyentuh hati. Walaupun dalam keadaan dia menerima sebuah kehilangan, namun jauh disudut hatinya terdapat juga sedikit kegusaran. Bukan tidak memahami, cuma kadang-kadang rasa sayang itu mengatasi segala-galanya.

 Hebat Allah memberi rasa itu. Rasa yang tidak berjisim tapi kita dapat merasakan kehebatannya.  Dan rasa itu begitu mendalam menyusuk ke hati apabila kita disayangi dengan sejujur-jujurnya. Sebab itulah ramai yang sanggup buat apa sahaja hanya untuk mendapatkan 'rasa' ini. Namun semua 'rasa' yang kita inginkan itu adalah rasa sesama manusia dan makhluk di dunia ini. Kalaulah  rasa sayang itu wujud antara kita dengan Pencipta dan Rasul, alangkah bertuahnya diri. Apabila kita sampai ke tahap itu, kita akan memahami hakikat kehidupan ini. Semua rasa yang Allah beri boleh dinikmati hanya kerana DIA. Sayang suami, sayang isteri, sayang ibu bapa , sayang anak dan sayang sahabat hanya kerana Allah kerana DIA lah mencipta insan-insan yang kita sayang dan DIA juga memasukkan rasa sayang ini. 

Apabila berlakunya perpisahan atau kehilangan orang yang dikasihi, rasa sedih itu tidak akan hilang sampai bila-bila tetapi dengan meyakini kasih sayang Allah mengatasi segala-galanya, maka kita dapat menerima hakikat kehilangan dengan hati yang lebih ikhlas.

Memang betul apa yang anak saya kata, " Antara kita semua ni akan rasa lagi next kehilangan, so camni je lah hidup"

Saya cuba fahamkan anak saya tentang erti sayang yang sebenar lebih-lebih lagi melibat keluarga sendiri.  Kalau benar-benar sayang, kita harus jaga semua yang Allah perintahkan tanpa ada sebarang pertikaian. Jaga solat, jaga aurat, jaga sikap,jaga semuanya mengikut syariat kerana dengan menjaga semuanya kita berusaha untuk jadi muslim yang baik. Allah menjanjikan doa anak-anak yang soleh akan sampai kepada ibubapa yang telah meninggal dunia. Berusahalah menjadi anak yang soleh. Selalu berniat , berdoa dan berusaha menjadi baik. Itulah nilai kasih sayang anak terhadap ibubapa dan sesama manusia....lillahi ta'ala . Bukan banyak persoalan kenapa dan mengapa. 

Kita kena selalu ingat, walau banyak mana kita menyayangi seseorang, tidak akan sama kasih sayang  Allah pada kita. Kita tidak perasan semua itu kerana sifat kita sendiri yang sangat lemah. Kita suka apa sahaja yang nampak di depan mata, ganjaran yang semerta, belaian dan kata-kata yang berbunga-bunga. Manusia memang lemah segala-galanya. Andai kita berusaha mencari kasih sayang Allah, kita dapat merasakan betapa banyak yang Allah beri walaupun adakala kita terlupa padaNya. Begitu juga dengan pengorbanan Nabi Muhammad saw terhadap umatnya. Dek kerana sibuk hal-hal dunia, kita teralpa untuk berselawat ke atasnya sedangkan kita mengharapkan syafaatnya kelak. 

Semoga kita semua sentiasa muhasabah dan cuba mengenali hakikat sebenar rasa cinta dan kasih ini. Lepaskan jasad orang yang kita cinta itu pergi dan simpan rasa cinta itu di dalam hati sebagai satu memori. Tidak salah kita mengingati kenangan yang terbina bertahun lamanya tetapi dalam masa yang sama kita harus mensyukuri setiap apa yang Allah pinjamkan seketika. Selalu berbaik sangka kerana terlalu banyak yang kita tidak tahu rahsia di sebalik kejadian.

Saya akhiri coretan ini dengan mengambil potongan ayat al Qur'an yang bermaksud:

“Dan disisi Allah tersimpan anak-anak kunci segala perkara ghaib. Tiada siapa yang mengetahuinya kecuali Dia. Dan Dialah yang mengetahui segala sesuatu yang ada di daratan dan lautan. Dan tiada sehelai daun yang gugur melainkan diketahui oleh-Nya. Dan tiada sebutir biji di dalam kegelapan-kegelapan perut bumi dan tiada suatu yang basah dan tiada suatu yang kering melainkan semuanya tercatat di dalam sebuah buku yang amat jelas.” (QS. Al-An’am:59).

Isnin, 13 Julai 2020

Antara Ibu dan Isteri


Saya mendengar bait-bait ayat dengan teliti daripada mulut seorang guru lelaki tentang konflik antara kerenah ibu dan isteri. Si ibu tinggal bersendiri setelah suami dijemput ilahi. Kehidupan yang kian sunyi bila umur makin berganjak dari hari ke hari. Akhirnya, si ibu tidak betah tinggal sendiri. Terpaksa duduk bersama anak-anak secara bergilir-gilir. 

Konflik mula timbul bila si ibu inginkan perhatian daripada anak dan menantu sedangkan anak dan menantu sibuk dengan kehidupan Seharian. Anak-anak masih sibuk mencari tempat dalam membina kedudukan. Masakan faham akan keperluan orang-orang yang umurnya kian senja. 

Saya membiarkan kawan saya ni menghabiskan ceritanya. Sebelum ni, ibunya tinggal bersama adiknya  Masalah yang sama timbul apabila si anak dan isteri sibuk dengan urusan semasa sedangkan ibu perlu teman untuk bercerita. Terlalu kontradik hidup ini. Kalaulah kehidupan ini selari, saling memahami, alangkah indahnya. Si ibu juga akan menikmati sisa-sisa kehidupan dengan indah sekali tapi apa yang biasanya berlaku, tidak sama dengan apa yang kita bayangkan. Lakaran keindahan hidup ini, tidak pernah sama dengan realiti. 

Saya jadi tersentak  apabila kawan saya ini meminta pendapat saya. Saya tidak sanggup memberi pendapat yang menyebelahi ceritanya. Saya kena jujur dengan pendapat saya.

Bagi saya, ibu adalah segalanya. Ya, memang rumit untuk memahami kehendak mereka yang dimamah usia. Kehendak mereka adakalanya di luar kemampuan kita tapi bersandarkan rasa kasih, usahalah untuk menunaikan hajat mereka seperti mana mereka sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa sahaja kemahuan kita dari kecil hingga dewasa. 

Ayat pertama yang keluar dari mulut saya, " Syurga cikgu ada pada ibu cikgu". Terdiam seketika dia mendengar ayat yang keluar daripada mulut saya. Mungkin dia tidak sangka memandangkan umur kami sebaya. Umur sebaya, sudah tentulah fikiran dan target kehidupan pun hampir sama. Sebelum kawan saya bersuara, saya menyambung lagi. " Berapa lama lah umur seperti ibu kita akan bertahan. Mereka telah merasai kehidupan ini hampir dipenghujung jalan. Bukan lama lagi. Tidak ada manusia hidup menongkat langit. Umur saya pun dah separuh abad, inikan pulak ibu kita. Tanpa saya sangka, ayat saya tu membuatkan air mata lelakinya mengalir juga. Dia terus mengangguk-anggukkan kepala. " Ya...ya betul apa yang awak cakap tu. Tiba-tiba je saya rasa berdosa dengan mak saya".

Kita semua manusia yang sangat lemah. Biasalah sesekali kita akan terkeluar dari landasan menuju ke syurga. Sebab itu Allah menurunkan surah Al-Asr. Di dalamnya Allah swt telah mengingatkan supaya kita hendaklah saling berpesan-pesan. Manusia memang selalu alpa dengan suruhan dan tuntutan. Alhamdulillah bila kita  tersedar dari kesilapan, segeralah balik ke pangkal jalan.

Sejujurnya saya bercakap melalui pengalaman. Saya juga ada ibu mentua. Dari awal saya dapat mengesan sikapnya. Sebagai manusia, bohonglah kalau saya tidak ada langsung perasaan marah,kecewa dan sedih pada setiap perlakuannya pada saya. Tapi apabila ada rasa takut pada balasan Allah mengatasi segalanya, saya jadi kerdil di situ. Saya tahu sangat, syurga suami saya ada pada ibunya dan syurga saya pula ada pada suami. Saya tahu suami menyayangi saya dan sekiranya setiap perlakuan ibunya saya bagitahu, sudah pasti saya sengaja menarik suami ke neraka. Allah memang tidak bagi kita banyak pilihan. Hidup di dalam dunia ini penuh dengan peraturan. Dunia bukan untuk kita bebas melakukan apa sahaja mengikut hati dan perasaan. Kita semua akan diadili oleh Tuhan. Berfikirlah untuk melakukan sesuatu dengan memenuhi tuntutan agar kita selamat di 'sana' nanti walaupun terluka di dunia ini.

Tiba-tiba air mata saya mengalir ketika menulis coretan ini. Teringat kata-kata daripada arwah suami,
" Sayang memang isteri yang baik. Abang bersyukur  dapat sayang sebagai isteri. Sayang begitu sabar melayan kerenah emak abang. Belum tentu orang lain boleh menjadi isteri sesabar sayang"

Sebenarnya bukannya saya seorang yang layak mendapat pujian seperti ini daripada seorang suami. Saya pernah menangis , tertekan yang amat sangat atas apa yang pernah berlaku antara saya dengan keluarga suami. Mungkin saya ada kelebihan dalam mengendalikan perasaan yang berkaitan dengan hal seperti ini. Saya selalu berpesan pada diri, jika sayangkan suami , saya harus menjaga semua ini kerana saya tidak mahu mengheret suami ke neraka hanya kerana dia menderhaka dengan ibu sendiri. Isteri boleh dicari jika  buruk di mata suami tapi ibu tetap satu di dunia ini. Apapun, ini cara saya menyayangi suami dan orang lain tentu ada cara masing-masing. Buatlah apa cara sekalipun tetapi jangan sampai kita lupa bahawa Allah itu ada.

Allah Maha Mengetahui

Ahad, 5 Julai 2020

Konflik Hati Dan Takdir

Bismillahirahmanirahim

Takdir Allah tidak pernah salah.
Kadang-kadang hati terlalu degil untuk menerimanya. Bukan tidak yakin, tapi pergelutan antara hati dan takdir sering terjadi. Akhirnya hati terpaksa akui bahawa takdir Allah memang terbaik. Allah menyusun sesuatu bukan mengikut logik akal. Dia maha tahu apa yang yang kita tidak tahu . Akhirnya konflik antara hati dan takdir yang kita rasa sangat sakit sebelum ini, perlahan-lahan akan dapat dirawati. Allahu.


Sesungguhnya hidup ini tidak pernah terlepas dari pelbagai ujian. Walaupun kita tahu, tapi jarang kita membuat persediaan dan persiapan. Kita akur, semua yang kita ada, bukan milik kita tapi yang hairannya kita kecewa bila Allah mengambilnya semula. Kita tamak dengan harta yang sememangnya bukan hak kita. Akhirnya kita menangisi dengan sesunguhnya apa yang hilang.   Kita berperang dengan keadaan yang tidak wajar untuk kita perjuangkan.  Dan, apabila kita cuba mencari solusi, Allah dengan baiknya akan peruntukan masa untuk memberi ruang kepada akal supaya dapat menterjemahkan konsep pinjaman itu sendiri. Perlahan-lahan kita cuba lepaskan dan terima segalanya walaupun masih berperang dengan perasaan. Ya Allah sakitnya hanya Engkau yang tahu. Ampunkan aku kerana hampir-hampir kalah dalam perjuangan ini. Terima kasih Allah kerana Engkau masih memberi masa untuk akal menerpa supaya pergunakanlah sedikit iman yang ada. 

Sungguh, manusia itu tidak kuat sebenarnya. Kekuatan memang tidak diukur dengan tenaga tetapi kekuatan sebenar  apabila kita  menerima takdir dengan berlapang dada. Tidak mengeluh dengan ujian yang melanda. Islam mendidik kita konsep redha namun hakikatnya ramai yang hilang semangat apabila berhadapan dengan ujian kehilangan. Iman hadir sekali sekala untuk memulihkan semangat yang hampir hilang. Begitulah situasi yang kita rasai. Tiada apa yang dapat menenangkan hati melainkan kita kembali semula kepada fitrah kejadian. Berdoa kepadaNya kerana Dialah pemegang hati. Mintalah kepadaNya agar pulihkan semula hati yang yang sedang sarat menanggung kesedihan.
Selalu berpesan pada diri, semua yang kita punyai adalah milik ilahi. Jangan sampai kita lupa berkali-kali, semuanya tiada yang abadi. 

Allah....maafkan aku yang tergolong dalam hamba-hambaMu yang lemah ini. Maafkan aku kerana tidak mendidik hati. Rapuh sungguh hati ini. Kuatkan aku ya Rabbi. Jangan Kau tinggalkan aku bersendiri dalam apa juga keadaan sama ada ketika aku berduka dan bergembira. Kau izinkanlah aku mendekati takdirMu dengan hati yang redha.Jauhkan lah aku dari sifat kufur seperti yang dikehendaki oleh syaitan.

Sungguh
Kau Maha baik. Dalam Kau memberi kesedihan, Kau beri juga penawar yang terkandung dalam ayat-ayat suci al Quran. Cuma manusia sendiri yang tidak cuba mendekati dan mendalaminya. Dalam ramai manusia yang alpa terhadapMu, Kau berikan juga sesuatu yang menjadi asbab untuk manusia kembali mengingatiMu. Kau begitu pemurah memberi pahala di atas semua kebaikan walaupun hanya dengan niat yang belum tentu tertunai. Kau berkira-kira untuk mencatat dosa walaupun sebelah kaki sudah hampir menuju ke neraka. Maafkan aku, ya Allah. 

Kurniakan aku hati yang tenang. Kembalikan semula semangatku yang hampir hilang. Dekatkanlah aku padaMu agar tinggi kebergantunganku padaMu.


Selasa, 30 Jun 2020

Mengapa Tidak Bahagia?



Semua manusia ingin bahagia. Tanyalah pada siapa sahaja.....mereka akan sanggup buat apa sahaja untuk mencapai kebahagiaan. Bagus sebenarnya bagi mereka yang gigih mencari kebahagian tetapi carilah kebahagiaan itu dalam bentuk yang diredhai Tuhan. Bukan mengikut nafsu dan membelakangkan syariat Islam.

Kali ni, saya ingin membawa kalian semua kepada satu persoalan. "Mengapa kita sukar mencapai kebahagiaan?"Persoalan ini kita tidak perlu tanya pada orang lain jika kita sendiri yang rasa tidak bahagia kerana jawapan kepada persoalan itu sebenarnya ada pada diri kita sendiri. Andai di muka bumi ini kita hidup bersendiri, tentulah tidak timbul konflik rasa bahagia itu. Tetapi, hakikatnya kita hidup bermasyarakat maka rasa bahagia itu akan bergetar juga apabila kita selalu membandingkan apa sahaja dengan orang lain. Bukan senang hendak didik hati. Hati tidak pernah menipu diri sendiri walaupun hati mampu menipu orang lain. Zahir nampak bahagia namun hati gundah gulana melihat kelebihan orang lain. Bagaimana kita boleh capai rasa bahagia jika hati selalu berkelana?

Contoh mudah : Kita melihat rakan sekerja. sama 'level' dengan kita mampu memakai kereta mewah sedangkan kita memakai kereta biasa. Hati mula tertanya-tanya kenapa  dan mengapa. Secara tidak sedar, perbandingan ini membuatkan kita mempersoalkan apa yang dia ada, apa yang kita ada. 
Kita melihat pula suami atau isteri jiran sebbelah jauh lebih baik daripada apa yang kita ada. Maka kita akan rasa apa kurangnya kita, dan apa pula lebihnya dia. Pendek kata, semua perkara kita buat perbandingan dan segala yang kita nampak semuanya tidak berpihak kepada kita, Kita kalah setiap kali kita mulakan permainan banding membanding ini dan akhirnya kita akan rasa kecewa dan tidak bahagia.

Sebenarnya, kita kena tahu tidak ada manusia yang ingin mempamerkan perkara yang buruk di khalayak. Apa yang manusia suka tonjolkan kepada dunia luar ialah perkara-perkara yang indah sahaja. Ambil gambar berpelukan dengan pasangan, kemudian ditayangkan di media sosial. Maka kita yang tidak dapat berbuat seperti itu terus melabelkan itulah kebahagiaan. Bolehkah dengan sekali melihat situasi itu, maka kita mampu buat analisis pasangan itu bahagia? Kita hanya melihat pada satu kelebihan sahaja, tanpa kita melihat pula kelebihan yang kita ada. Sebenarnya, kita jangan tertipu dengan apa yang kita lihat. Kebanyakan apa yang orang suka tonjolkan itu adalah berbeza dengan realiti sebenar. Sentiasa melihat kelebihan diri, maka bahagialah yang akan menanti

Hidup ini bukanlah satu pertandingan. Jika kita tetap membandingkan hidup kita dengan orang lain, kita akan berkali-kali berhadapan dengan kegagalan. Belajar mematangkan diri dengan pengalaman kehidupan. Adalah lebih baik kita membanding-bandingkan kehidupan kita dahulu dan sekarang. InshaAllah akan terbit rasa syukur dalam diri kerana kita akan nampak  peningkatan dalam kita menguruskan kehidupan ini. Dari situ, akan terbitlah rasa syukur. Kita akan melihat lebih jauh lagi bahawa bahagia itu ada di dalam diri sendiri.Sentiasa bersyukur dan berlapang dada dengan apa yang ada disamping berusaha meningkatkan diri dalam pelbagai perkara.

Ok semua......
Sebenarnya saya juga bercakap berdasarkan pengalaman sendiri. Selalu melihat kekurangan diri bila dibandingkan dengan orang lain. Terdetik di hati ini, sampai bila saya akan rasa tidak bahagia. Akhirnya saya dapat jawapan itu sendiri apabila saya memandang kelebihan yang ada. Rasa kekurangan dan ketidakcukupan itu hilang bila saya mencapai konsep redha dengan rezeki yang Allah beri.  Saya petik satu ayat dalam surah  ali-imran ayat 139:
' Janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati kerana kamulah yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman'.
Cuba perhalusi ayat ini, maka inshaAllah bahagia itu akan menanti.



' sesungguhnya Allah itu maha baik'
 

Sabtu, 20 Jun 2020

Terima kasih, Ya Allah

Sungguh...... saya tidak ramai kawan tetapi Allah hadirkan beberapa orang sahabat buat saya. Walaupun tidak ramai, tetapi mereka tetap ada ketika saya dalam kesempitan. Dengan pertolongan Allah jugalah mereka menjadi asbab untuk memudahkan segala kesulitan. Selain dari anak-anak, sahabat merupakan insan yang penting dalam hidup saya. Dan sebab itulah dalam Islam, ada syafaat daripada sahabat-sahabat yang baik di akhirat nanti. Islam juga memandang tinggi peranan sahabat - sahabat yang baik. 
Mungkin saya kurang bernasib baik kerana sejak kecil saya disisihkan oleh keluarga sendiri dan akhirnya dibuang sepenuhnya atas alasan yang sangat tidak dapat saya terima.  Jangan ditanya kenapa kerana semuanya itu biarlah Allah adili di akhirat nanti. Sebab berkaitan keluarga, lebih baik saya berdiam diri. Apapun, saya tidak berdendam dengan nereka kerana saya percaya disebabkan kedhaifan dan kejahilan, mereka ada alasan tersendiri untuk tidak menerima saya. Serahkan sahaja pada Allah kerana Dialah pemegang hati. Jika Dia memberi hidayah kepada sesiapa yang diingini, inshaAllah saya akan diterima kembali oleh keluarga sendiri. Jangan putus berdoa dan sentiasa berbaik sangka dengan Allah.

Saya mula rasa disayangi apabila saya menamatkan zaman gadis saya. Saya mendapat suami yang sangat menyayangi saya seadanya. Saya dimanja seadanya mengikut kemampuannya. Bersamanya saya memiliki 3 orang cahaya mata dan masing-masing sekarang sudah pun dewasa. Rasa bangga kerana saya mampu membesarkan mereka bersama suami tanpa ada nasihat dan panduan lisan daripada orang tua kami. Kami mengambil panduan membesarkan anak-anak dengan melihat contoh-contoh dari orang-orang sekeliling dan melalui bacaan. Maaf....saya belum bersedia untuk bercakap soal suami kerana masih belum bersedia untuk mengulas lebih mendalam tentangnya kerana kesedihan masih terasa hingga kini setelah Allah lebih menyayanginya. Allahu.......hanya Allah sahaja yang tahu apabila Dia mengambil kembali apa yang Dia mahu. Sesungguhnya semua yang ada di dunia ini adalah pinjaman belaka. Dia berhak atas segalanya. Terima kasih ya Allah Kau meminjamkan insan yang aku sayangi ini kurang 11 hari untuk capai 30 tahun.

Kehadiran dua tiga orang sahabat, menambahkan lagi rasa diri ini disayangi sekaligus menunjukkan kebenaran yang Allah maha adil sifatnya. Pengasih dan penyayang. Dia menarik sesuatu yang sangat saya inginkan tetapi Dia ganti semula dengan kehadiran sahabat. Saya hilang keluarga tetapi Allah menggantikan kehadiran sahabat-sahabat yang mampu membentuk hubungan kami seperti dalam satu keluarga yang besar. Segala kekurangan Allah 'top up' dan kami saling melengkapi. Terima kasih Allah kerana memberi rezeki ini pada saya. Dan terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang hadir tatkala saya sangat memerlukan pertolongan. Memang besar peranan sahabat....bukan setakat di dunia, malah di akhirat juga. Carilah sahabat yang benar-benarnya berperanan sebagai seorang sahabat kerana sahabat yang baik akan mencari sahabatnya jika sahabatnya tiada di syurga.

Isnin, 27 April 2020

Ujian Kita Bersama


Pukul 3.25 pagi, handphone saya berbunyi menandakan satu mesej masuk melalui whatsapp. Dari skrin luar, saya melihat nama murid saya tertera. Hairan juga, waktu begini dia boleh hubungi saya. Apa yang penting sangat? Memandangkan saya belum tidur, saya buka whatsapp tersebut. Rupanya, dia ingin bertanya satu soalan yang mungkin baginya agak penting untuk dia tahu hingga menyebabkan tidurnya terganggu pada hari itu.
Saya kongsikan soalan tersebut di sini:

“ Cikgu, saya pernah dengar satu ceramah dari seorang ustaz. Katanya bila Allah murka, Allah akan turunkan musibah atas perbuatan  manusia yang jahat. Tapi adilkah orang-orang baik pun akan terkena sekali? Contohnya apa yang berlaku sekarang ni.” 

Saya tidak terus menjawab soalan tersebut sebab  kalau hendak dihuraikan panjang lebar, rasanya tidak sesuai dalam whatsapp. Saya cuba mencari jawapan yang ringkas tapi boleh difahami oleh murid saya mengikut tahap umurnya yang baru berusia 16 tahun.

“ Sebab orang-orang yang baik, tidak berani menegur atau tidak ambil peduli perbuatan orang yang jahat. Malah ada yang menyokong lagi”

Mungkin jawapan saya terlalu ringkas, maka dia bertanya beberapa soalan lagi. Memandangkan waktu yang kurang sesuai, saya KIV dahulu soalannya dan memintanya tidur dulu dan berjanji akan menjawab soalan itu nanti.
Bagus soalannya. Mungkin dia bertanya berdasarkan apa yang berlaku pada dunia ketika ini.

 Sebenarnya, soalan seperti ini  lebih sempurna jawapannya kalau dijawab oleh orang-orang yang mahir dalam agama. Tapi memandangkan kita semua sebagai khalifah, saya cuba  menjawabnya mengikut pandangan peribadi saya di sini. 

Apabila Rasulullah SAW melihat sesuatu kesilapan yang berkaitan dengan hukum-hakam, maka Baginda SAW akan menegurnya serta menerangkan hukumnya. Contohnya kisah yang terdapat di dalam hadis berikut:
Maksudnya: “Daripada Jarhad RA bahawa Rasulullah SAW melintasinya sedang dia mendedahkan pahanya. Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Tutuplah pahamu kerana ia adalah aurat.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hadis ini menjelaskan bahawa paha yang terdedah itu adalah aurat yang wajib ditutup oleh setiap orang yang beriman sekalipun dia seorang lelaki, kerana aurat lelaki adalah dari pusat hingga ke lutut.
Masalahnya di sini, berapa ramai antara kita termasuk saya berani menegur?Ramai antara kita akan mengambil pendekatan berdiam diri kerana tidak mahu masuk campur dengan urusan orang lain. Kita ambil saja contoh yang tular di media sosial  sekarang ini. Pasti kita tidak dapat lari dari melihat gambar atau menonton video yang tidak sewajarnya di situ. Tambah pula adanya aplikasi tik tok yang menjadi kegilaan terutama remaja sekarang. Jika perkara yang baik dipertontonkan, alhamdulillah. Kita dapat berkongsi ilmu. Dakwah boleh disebarkan di situ jika kita menjadikannya sebagai medium untuk berdakwah.

Apa yang menyedihkan, di media-media sosial ini juga boleh menarik beribu malah berjuta manusia untuk mendapat dosa dengan begitu mudah sekali. Berapa ramai yang berani menasihati atau menegur bila melihat individu boleh mengeluarkan bahasa-bahasa kesat,mencarut,memaki sesama manusia sesuka hati? Kita dapat lihat  bagaimana remaja mendedahkan aurat secara terlampau dan menari mengikut alunan selawat dan zikir. Kita menyaksikan remaja mempersendakan cara solat dan dijadikan bahan lawak tanpa sedikit pun rasa bersalah terhadap Allah SWT. Kita juga melihat  perlakuan beberapa transgender yang menyakitkan mata. Berpakaian menjolok mata, bangga menjadi manusia yang jelas dilaknat oleh Allah SWT. Malah mereka berani secara terang-terangan melakukan sesuatu yang mencabar kesucian Islam itu sendiri. Allah hu.

Apa yang lebih mengejutkan semua perlakuan tersebut, mendapat jumlah ‘like’ yang sangat menakjubkan. Dan, secara jujurnya saya jadi tidak faham mengapa masyarakat boleh menjadi pengikut kepada manusia-manusia berkenaan hingga jumlah ‘followers’nya saja begitu ramai. Bukankah semua itu tanda sokongan mereka kepada golongan tersebut. Malah, setiap ‘posting’ yang begitu nyata tersasar dari tuntuan agama, masih ada lagi yang memberi kata puji-pujian.

Sebenarnya, golongan-golongan tersebut hadir, bukan sahaja ujian untuk dirinya. Malah ia merupakan ujian terbesar buat kita semua. Individu yang melakukan perkara mungkar tersebut berjaya mengheret kita semua kepada kemurkaan Allah SWT. Kita mendapat dosa atas dosa mereka tanpa kita sedar. Kita menyokong mereka dengan memberi simbol ‘like’ di atas setiap perlakuan mereka. Kita juga tidak mengamalkan seperti yang disuruh oleh Allah SWT dalam surah Al- Asr yang antaranya meminta kita saling berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.


Memandangkan saya juga pengguna Facebook dan Instagram, maka semua perkara di atas dapat saya saksikan sendiri dan lebih menghancurkan hati adakalanya terjumpa dalam kalangan murid sendiri. Tudung dan aurat tidak dipelihara dengan sebaiknya. Berpegang tangan dengan pasangan menjadi kebanggaan. Facebook dijadikan medan serangan lisan atas rasa tidak puas hati tanpa memikirnya berapa ribu mata yang membaca dan memerhati.  Rasa hancur itu menjadi parah kerana ramai pula yang menyukai dan memuji-muji daripada menegur perbuatan yang nyata salah dari segi syariat. Kita lupa, kewajipan mengubah kemungkaran itu sangat dituntut dalam Islam dan ia bukan tugas para ulama dan para ustaz  sahaja, malah ia merupakan tanggungjawab kita bersama. Adakah kita semua menggunapakai  tahap keimanan kita seperti yang terkandung dalan sebuah hadis, antara maksudnya “……….dan apabila tidak mampu lagi, maka tegurlah dengan hati, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman”. 

Jadi di sini, usah ditanya kenapa bala atau bencana itu turun tidak memilih manusia. Bencana yang Allah turunkan ini adalah sebagai peringatan untuk kita semua. Kita semua adalah pendosa. Sebagai seorang mukmin, kita harus meyakini setiap yang berlaku mempunyai sebab tersurat dan tersirat yang perlu dimuhasabah bersama.
Sesungguhnya, orang yang memberi nasihat, bukan bererti dia manusia sempurna. Maka sebab itulah Allah mengingatkan kita saling berpesan kerana sifat manusia memang selalu lupa dan selalu membuat kesilapan berulang kali. Dan, kita  jangan pula memandang orang yang membuat dosa itu sebagai pendosa selamanya kerana boleh jadi pendosa itu lebih dekat dengan Allah kerana adanya taubat dan orang-orang yang baik pula makin jauh dari Allah kerana adanya sikap riak. Wallahualam

Didiklah Hati


Disebabkan susah nak tidur, banyak pula masa saya menulis awal pagi ni. Rasanya tulisan saya ni tidak beremosi cuma tangan rasa hendak sangat menulis tentang cikgu ni.

Dalam suasana yang kritikal begini, sewajarnya fokus kita kepada masalah utama yang dihadapi oleh dunia iaitu covid 19. Namun begitu, banyak pula isu yang timbul hingga dapat mengalih pandangan kita kepada isu-isu baru yang dicipta. 

 Ada yang saya baca dan ada yang saya lihat sekilas pandang sahaja. Walau bagaimanapun, pada waktu cuti PKP ni, guru-guru tetap sibuk menguruskan pengajaran dan pembelajaran anak-anak didik dengan menggunakan pelbagai medium supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran. Dalam pada itu saya yang banyak masa  berehat-rehat ni,sempat jugalah, membaca coretan-coretan individu yang tidak senang dengan kerjaya guru kerana beranggapan kerjaya guru ni  banyak goyang kaki, banyak cuti tetapi masih dapat gaji. 

Ada tuduhan yang lebih kejam lagi dengan melabelkan guru makan gaji buta. Saya rasa, tak ramai guru nak respon  tentang perkara ni sebab menyedari kejahilan mereka tentang kerjaya ini. Maklumlah yang menulis kenyataan tersebut memang pasti bukan dalam kalangan warga guru. Memang sifat manusia suka acah-acah serba tahu walaupun mereka tidak pernah berada dalam golongan warga pendidik.

Yang menghairankan, kalau penulis yang acah tahu ni seorang yang beragama Islam, sewajarnya mereka tahu di mana Islam meletakkan nilai seorang guru itu dan bukan nilai seorang individu.
Bacalah sebuah buku kecil yang bertajuk Ayyuhal Walad hasil nukilan Imam al-Ghazali yang menekankan isu penghormatan murid kepada guru dan juga adab pelajar kepada guru. Rasanya tidak perlu mengupas siapa guru, peranan guru dan sebagainya kerana sikap yang buruk dibawa oleh segelintir guru itu adalah mewakili dirinya sendiri dan bukan mewakili kerjayanya sebagai guru.

 Namun, penulis yang lantang menulis  banyaknya buruk tentang guru telah melukakan hati ramai guru dan sedikit sebanyak mencemarkan kerjaya guru itu sendiri.
Untuk pengetahuan mereka yang bukan guru, dan khasnya kepada penulis yang banyak menulis tentang keburukan manusia bernama guru, kami yang cikgu ni, tidak melatah pun dengan apa yang kalian tulis sebab kami lebih sedia maklum akan bebanan tugas kami. Jadi, kami tidak ada niat pun untuk menyenaraikan satu persatu supaya difahami. Rasanya memang tidak perlu. 

Saya yakin, kita semua pernah bergelar murid/pelajar satu ketika dahulu. Kita sendiri tahu tentang kesungguhan manusia yang bernama guru cuma kalau ada seorang dua yang bersikap seperti yang dicanangkan, itu adalah perkara biasa . Macam ibu bapa juga. Bukan semua ibu bapa menjalankan tanggungjawab yang baik kepada anak-anak mereka. Saya sendiri, adakalanya ‘tidak cukup telinga’ mendengar luahan hati murid saya tentang sikap ibu dan ayah mereka.  Adakalanya saya luangkan masa berjam-jam lamanya untuk mendengar kesedihan murid saya yang tidak dapat berkongsi rasa dengan sesiapa. Ada ketika pula, saya boleh berada di luar kawasan sekolah hanya untuk menjadi pendengar setia berkaitan masalah mereka. Mengapa mereka ini mencari guru untuk tujuan semua itu? Jawapannya, ada kekurangan bagi pihak ibu bapa, bukan?  Saya yakin, berapa ramai lagi guru-guru di luar sana mengalami pengalaman yang sama. Justeru, kelemahan pada setiap individu bukan hanya terletak pada kerjaya seorang guru.


 Kalau ada pun guru yang culas, tetapi bilangan guru yang sedemikian tidaklah ramai. Saya akui memang ada sorang dua yang bersikap sedemikian. Tapi adilkah kita mengambil contoh yang kurang baik itu sebagai satu alasan untuk kita memanipulasikan pemikiran orang lain seolah-olah semua guru bersikap seperti itu.

Ada juga penulis hebat mencadangkan gaji guru dipotong memandangkan guru-guru ketika ini goyang kaki di rumah. Bab yang ni pun, saya tidak akan mengulas apa-apa. Biarlah apa saja persepsi penulis terlibat  beranggapan sedemikian. Cuma saya ingin menjelaskan di sini, duit gaji yang kami dapat setiap bulan, ada hak orang lain untuk dikongsi. Ekoran dari fakta itu, cikgu tidak pernah berkira pun bila duit cikgu keluar untuk murid mereka. Sebagai orang Islam, kita semua tahu, tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu tahu. Jadi, perkara macam ni, tidak ada guru yang akan wara-warakan kepada umum walaupun pelbagai syak wasangka orang luar terhadap guru. Tidak perlulah kita hendak menjadi professor serba tahu hingga terlalu banyak fakta salah yang kita lakarkan hingga menjadi bahan bacaan umum walhal cerita yang kita ketengahkan itu sama sekali tidak benar. Apa yang ditakuti, semua fakta tersebut menjadi fitnah. Pernah juga saya terbaca seorang penulis hebat menulis di laman sosial dengan menuduh guru menggunakan duit PIBG untuk mengadakan jamuan akhir tahun di hotel. Kadang-kadang, rasa lucu mengatasi rasa marah dengan kenyataan tersebut. Benarlah ayat yang  selalu kita dengar, jika tidak tahu sesuatu perkara lebih baik berdiam. 

Rasullullah SAW memberi amaran tentang bahayanya lidah kerana ia merupakan salah satu perkara yang paling Baginda khuatirkan. Salah seorang sahabat Sufyan al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang satu perkara yang aku akan berpegang dengannya!" Baginda menjawab: "Katakanlah, Tuhanku adalah Allah , lalu istiqomahlah”. Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau khuatirkan atasku? ". Baginda memegang lidah baginda sendiri, lalu bersabda:" Ini . " (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Rasanya, dalam suasana yang tidak menentu ini, lebih baiklah kita semua berbuat sesuatu yang menuju keredhaan Allah SWT daripada kita mencetuskan sesuatu yang tidak ada faedah langsung untuk diri sendiri dan orang lain . Saling berpesan-pesan dalam kebaikan adalah jauh lebih baik km daripada menulis sesuatu yang melukakan. Apa yang saya tuliskan ini juga adalah pesanan untuk diri sendiri kerana sifat manusia memang selalu melakukan kesalahan berulang kali.

Ahad, 15 September 2019

Didi 2019

Kalau ada sesiapa yang terbaca dan mengetahui kisah anak bongsu saya yang saya panggil didi, yang selalu merasa rendah diri dalam serba serbi tentu akan terkejut melihat perubahan fizikal didi sekarang. Didi sekarang sudah dewasa. Dah 21 tahun. Cepat sungguh masa berlalu.  Kalau dulu, saya selalu bercerita dengan sahabat disekeliling, didi sangat pendiam dan tidak pandai bergaul. Mudah 'down' bila kena bahan dengan adik beradik dan kawan-kawan. Mudah sentap jika diusik. Susun atur ayat dalam membuat karangan, selalu menjadi bahan utama perbualan guru di sekolah. Didi suka menggunakan ayat berulang-ulang. Di sebabkan banyak kelemahannya dalam menyusun ayat, didi kurang bercakap kerana takut ayatnya salah dan menjadi bahan gelak tawa orang lain. Kesian anak saya tu. 

Benarlah, di sebalik mempunyai kelemahan, Allah memngurniakannya juga otak kanan yang cenderung dalam bidang matematik. Dia pandai dalam matematik. Allah meminjamkannya dalam bidang itu hingga dia boleh mengajar beberapa orang murid saya dari tingkatan satu hinggalah pada peringkat SPM. Alhamdulillah ada yang boleh menerima cara dia mengajar. Dari tidak berapa pandai dalam bahasa, didi berjaya juga menamatkan pengajiannya hingga diploma dalam bidang akaun dan kini menunggu masa untuk menyambung degreenya dalam bidang yang sama. Semuanya dalam perancangan Allah juga kerana DIA lebih tahu apa yang terbaik. Sesungguhnya semua itu adalah rahsia Allah.

Di sini saya flashback semula kisah Didi dan UPSR yang saya post diruang ini pada tahun 2010. Ketika saya menulis entry tu, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Sedih kerana anak saya belum cukup faham dengan takdir Allah.  Dia rasa sangat kecewa kerana tidak dapat keputusan yang cemerlang walaupun dia telah memohon pertolongan daripada Tuhan dengan kerap membuat solat hajat. Puas saya merasionalkannya hinggalah dia boleh terima juga akhirnya. Kini semuanya sudah 9 tahun berlalu. Didi sekarang sudah dewasa dalam banyak perkara. Saya melihat percubaannya untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia berusaha untuk mencuba menjadi yang lebih baik. Didi lebih faham konsep redha dan menerima sesuatu itu adalah atas keizinan Allah swt. 

Terima Kasih Allah kerana mengurniakan anak-anak yang baik buat saya dan suami. Saya tidak perlu kemewahan dunia seperti orang lain tetapi cukuplah saya memiliki anak-anak yang tidak mengheret saya dan suami ke neraka. Saya sayangkan anak-anak saya di dunia hingga ke akhirat dan mengharapkan kami semua dapat berkumpul semula di 'sana'. Saya berdoa semoga anak-anak saya mendapat jodoh yang baik dan menjadi asbab untuk mereka melipatgandakan lagi amalannya sebagai bekalan menuju ke sana. 

Ok semua....jumpa lagi di lain entry. 

BBNU cuba memberi tazkirah mengenai sifat Allah yang sangat pemurah





Sabtu, 14 September 2019

Berbaik Sangka Kepada Allah


Musibah merupakan salah satu ujian hidup, maka kita akan cuba mengatasinya dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita. Seperkara yang kita jangan lupa, kita merupakan insan yang DIA pilih untuk menerima ujian dalam bentuk yang dikehendakNya  kerana DIA ingin melihat sejauh mana kita dapat 'handle' perasaan dan emosi tersebut. Apa yang Allah swt beri, semuanya mempunyai sebab tidak kira sama ada yang manis ataupun yang pahit. Analoginya sama sahaja dengan seorang guru yang ingin memastikan anak didiknya dapat atau tidak mengaplikasikan ilmu yang diberi dengan cara memberi ujian dan peperiksaan sebagai penilaian.

Jika semua manusia di muka bumi ini ada sikap kebergantungan pada Allah, inshaAllah sikap berlapang dada boleh diaplikasi. Tapi semuanya itu tidak semudah teori yang kita tahu. Perlaksanaannya sungguh berat untuk membuatkan otak menerima segalanya sebagai takdir walaupun kita tahu semua yang berlaku adalah aturan dan perancangan Allah. Kita boleh menangis kerana  gagalnya dalam percintaan. Kita boleh menangis tatkala berhadapan dengan kesedihan  dan kita juga boleh menangis tatkala dilanda kekecewaan walaupun kita tahu ia merupakan  ujian Allah . Namun jangan sampai kita berprasangka dengan Allah jika ditimpa musibah berpanjangan. Ketika itu, kita lupa konsep redha dan pasrah kepada aturan Allah. Ketika itu kita tidah mahu terima setiap kejadian ada hikmah. 

Saya akui, memang sukar sebenarnya untuk kita benar-benar berlapang dada. Orang yang berlapang dada, tidak ada pertikaian pada setiap kejadian. Dalam keadaan rasional, kita boleh faham segalanya berlaku atas keizinanNya dan ada sebab DIA izinkan sesuatu perkara itu berlaku. Namun, bila kita mengalami sesuatu keadaan itu dalam keadaan yang tidak bersedia, maka kita mula mempertikaikan kenapa dan mengapa perkara ini harus berlaku kepada kita dan bukannya kepada dia. Jadi, kita semua harus sentiasa berpegang teguh bahawa setiap yang berlaku tidak ada yang sia-sia kerana ada pengajaran yang boleh diperoleh daripadanya sama ada kita sedar atau tidak. Marilah kita sama-sama berusaha ke arah itu walaupun sukar. Sekurang-kurangnya kita ada usaha untuk mencuba menjadi yang lebih baik . Berjaya atau tidak usaha kita, itu persoalan kedua.

Buat anak-anak saya serta anak didik di luar sana, kita boleh sahaja menangis andai kita rasa kita patut bersedih tapi jangan sampai kita lupa bahawa Allah tidak pernah menzalimi kita . Ada banyak perkara yang kita tidak tahu tetapi Allah tahu. Jadi, jalan yang paling baik apabila berlaku musibah atau apa sahaja yang membawa kita kepada kesedihan, maka kita hendaklah istigfar, ambil masa untuk bermuhasabah diri dan seterusnya berbaik sangka dengan Allah swt.

Ok semua....kita dengar sedikit tazkirah ni daripada insan yang baru nak cuba-cuba menyampaiakn dakwah. Hahaha







Isnin, 4 Februari 2019

Jom Buka Tirai 2019

Assalamualaikum semua....
Rasanya nak buat 'come back' tapi masa selalu menjadi alasan untuk saya tidak sempat menulis. Tak tahulah sama ada benar-benar masa menjadi penyebab atau saya yang tidak tahu membahagi masa dengan sebaiknya. Sudah terlalu lama saya tidak menulis di sini hingga terlalu banyak cerita yang tidak sempat dikongsi. Masa bergerak dengan pantas sekali.

Tahun 2018 banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis. Kini 2019 membuka tirai  untuk kita semua memperbaiki diri dan menjadi manusia yang lebih baik dari sebelum ini. InshaAllah....
Sama-sama kita berdoa semoga pada tahun ini kita lebih banyak muhasabah diri dan istiqamah dalam membuat kebaikan.

Saya abadikan sebuah video kenangan di entri kali ini sebelum saya menyambung semula penulisan yang akan datang untuk kita kongsikan bersama nanti.








Isnin, 29 Mei 2017

Berhentilah Menjadi Pelaga

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini-dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya)- sehingga menjadi kamu menyesali  apa  yang telah kamu lakukan"

Rasanya ramai antara kita tahu akan ayat ini tapi tidak ramai yang akan menjadikan ayat ini sebagai rujukan apabila mendengar sesuatu berita. Kebanyakan daripada kita tidak dapat menahan diri tatkala mendengar berita yang disampaikan lebih-lebih lagi apabila berita itu berkenaan cerita negatif tentang diri sendiri. Sangat menyedihkan apabila cerita yang mereka dengar, akan diterima dengan penuh yakin dan menyebarkannya pula kepada orang lain tanpa disiasat terlebih dahulu. Dan begitulah seterusnya hinggalah terbongkar cerita sebenarnya. Dan ketika kebenaran itu terserlah, bagaimana si penyampai cerita akan memohon maaf kepada orang yang menjadi mangsa ceritanya sebelum ini? Bukankah sukar untuk membetulkan keadaan seperti sedia kala?

Sebenarnya, menjadi kehairan dan kepelikan bagi sy untuk mencari sebab2 mengapa si penyampai certia suka bercerita kepada orang lain tentang apa yang didengarinya sebelum ini. Dan menjadi bertambah hairan juga apabila si penerima cerita akan melatah tanpa ada usul periksa hingga mangsa yang terlibat tidak diberi kesempatan langsung dalam membela diri. Apa motif sebenar si penyampai certia? Adakah mereka rasa gembira melihat dua pihak bergaduh dan bermasam muka angkara ceritanya? Bukankah sifat syaitan sahaja yang suka melihat manusia bergaduh sesama mereka lalu terputusnya hubungan silaturahim yang telah terbina sebelum in.

Subhanallah.....
Sangat menakjubkan sifat manusia ini. Adakalanya tidak terjawab dek persoalan yang bersarang di kepala. Kalau sy lah menjadi orang yang mendengar perbualan daripada oang A yang sedang hangat bercerita tentang keburukan B, rasanya tidak wajar sy menyampaikan cerita itu pada B jika sy tahu ia akan membawa byk keburukan hingga menyebabkan pergaduhan antara mereka. Tetapi mungkin sy akan berjumpa B secara peribadi untuk mencari kepastian tentang cerita yang sy dengar tanpa memberitahu B dari mana punca cerita itu sy peroleh. Bukankah itu lebih baik daripada mendengar sesuatu cerita, kemudian menghebahkannya pula tanpa mencari kebenaran cerita tersebut.


Ini hanya pendapat sy sahaja ekoran daripada ayat yang Allah turunkan itu. Bukan hendak tunjuk baik tapi sewajarnyalah kita semua berusaha untuk menjadi baik. Saling mengingati adalah lebih baik daripada turut berkongsi kemungkaran hanya semata-mata mahu menjaga hati kawan. Bagi sy, sahabat yang baik itu adalah sahabat yang berani menegur sikap sahabatnya bukan sentiasa menyokong apa sahaja tindakan sahabatnya walaupun dia tahu ia adalah salah.

Apa yang lebih menyedihkan sy, situasi ini boleh berlaku di mana2 dan pada siapa sahaja. Terlalu sedikit insan-insan yang mendapat perkhabaran buruk mengenainya akan mengambil beberapa saat untuk bertenang dan cuba siasat akan kebenaran cerita yang mereka dengar walaupun orang yg terlibat itu merupakan orang yang tahu tentang hukum dan hakam. Kebanyakan dari mereka akan melenting tanpa berfikir panjang. Hal ini berlaku bukan dalam kalangan orang yang tidak ada pendidikan, malah dalam kalangan intelektual juga boleh terjadi jika mereka tidak mengambil langkah untuk menenangkan diri.

Si penyampai cerita pula agak sukar untuk dikesan secara jelasnya mengapa sikap mengadu domba ini ada pada diri mereka. Mungkin seronok melihat dua  pihak bergaduh sama seperti si pelaga ayam suka melihat ayam laganya berlaga hingga akhirnya salah seekornya akan rebah. Seperkara orang-orang yang suka melaga-lagakan orang ini terlupa bahawa ada bidalan yang berbunyi ' kerena mulut badan binasa'. Dan terlupa juga akan sebuah kisah  seorang wanita yang  tidak dapat masuk syurga kerana mulut yang tidak dipelihara walaupun solat dan ibadatnya begitu terpeliharapa.

Sy melihat sendiri situasi ini berlaku di kalangan kawan-kawan sy. Cikgu Ali mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya kerana terlalu marahkan cikgu Suzi. Walaupun perbuatan cikgu Ali tidak wajar, namun sy dan beberapa orang guru lain tidak memberi sebarang respon pada masa itu. Dalam hati sy terdetik cerita ini akan sampai juga kepada cikgu Suzi kerana dalam kumpulan kami itu, ada cikgu xxx yang memang dikenalpasti suka mengadu domba tentang orang lain. Cikgu xxx ni, memang suka wasap dengan pengetua jika ada kesalahan atau ada perbuatan yang tidak kena dimatanya. Memang ramai yg tahu sikap ckg xxx ni. Terlalu cepat memberitahu pengetua walaupun apa yang dilihat atau didengarnya belum tentu benarnya. Tekaan sy memang tepat. Petang itu juga, berita tentang cikgu Ali mengumpat cikgu Suzi telah sampai ke pengetahuan cikgu Suzi dan apabila disiasat, memang ckg xxx ni lah punya angkara.

Apalagi, meletuplah ckg Suzi ni. Menangis di khalayak ramai kerana tidak dapat terima kutukan ckg Ali ni. Yang lebih menyeronokkan. ckg xxx ni pandai pulak buat selamba seperti bukan dialah punya angkara perbalahan antara ckg Ali dan ckg Suzi kerana dia boleh baik dengan kedua-dua pihak. Ya Allah, cerita apakah ini. Sehingga kini sy tercari-cari apa yang ckg xxx rasakan bila dia tahu ckg Ali dan ckg Suzi bergaduh dan bermasam muka angkara mulut dia. Adakah satu kepuasan baginya. Kalaulah dia tidak menyampaikan cerita ini kepada ckg Suzi, dah tentulah perkara ini tidak terjadi.

Ya Allah, semoga orang-orang seperti ckg xxx mendapat petunjuk dari Allah swt. Dan sy juga berdoa agar sy tidak menjadi seperti ckg xxx kerana sikap manusia memang sentiasa berubah-ubah. Hati kita dipegang oleh Allah jadi berdoalah  agar Allah tidak membolak balikkan hati kita. Selalu berdoa agar kita mendapat taufik dan hidayahNya.

Buat ckg xxx, andai anda terbaca blog ini, sy tidak mengumpat anda. Bagi sy, ini adalah satu teguran ikhlas daripada sy kerana sy tidak mampu untuk menegur sikap anda secara berdepan. Di samping itu, sy juga mengingatkan diri sy juga agar tidak melakukan perkara yang sama. Ini merupakan peringatan untuk sy juga.

Selasa, 8 November 2016

Maafkan Mereka, Wahai Anak

Subhanallah.....terkejut sungguh saya. Tak sangka post saya yang bertajuk "Berdosalah Aku?.....Siapakah Yang Berdosa" yang bertarikh 19 Oktober 2010 mendapat respon yang sangat memberangsangkan daripada rakan pembaca.( http://norashaari.blogspot.my/2010/10/berdosakah-akusiapakah-yang-berdosa.html )
 Rupanya, terlalu ramai manusia di luar sana mengalami nasib yang sama seperti cerita yang saya paparkan. Ya Allah....dimanakah lagi kebenaran kata-kata "Kasih ibu membawa ke Syurga"?

Aneh sungguh ketentuan Allah SWT. Segala percaturanNya tidak terjangkau dek akal fikiran kita. Tetapi percayalah, apa sahaja yang berlaku hanya merupakan penyebab sahaja untuk Allah meningkatkan darjat hidup seseorang. Sebagai hamba, apalagi yang terdaya oleh kita melainkan redha sahaja atas apa yang berlaku. Banyak yang harus kita dalami tentang beberapa potongan ayat Al-Quran dan hadis dan antaranya :
" Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatannya ...." 
(Al-Baqarah: 286)

" Patutkan manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, 'Kami beriman', sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cobaan)?
( Al-Ankabut : 2)

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. “ 
– Hadith riwayat Imam Tirmizi


Para pembaca yang mengalami pengalaman hidup yg sama seperti entry saya tersebut, saya menjawab segala komen anda pada entry saya kali ini. Dibuang oleh keluarga sendiri, memang amat sukar untuk kita menerima ketentuan ini. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang akan tahu betapa serba kekurangannya kita jika dibandingkan dengan insan lain. Saban hari si anak akan mengharap dengan penuh pengharapan dan menanti dengan penuh penantian agar mereka disayangi oleh ibu dan bapa sendiri. Kesengsaraan batin yg dialami rasanya tidak tertanggung oleh jiwa  raga  dan hanya mereka yang mengalaminya  sahaja akan merasakannya. Namun, pada sesiapa yang melepasi rasa sengsara ini, akan dapat menikmati kehidupan selepasnya apabila mereka membina mahligai sendiri. Lebih2 lagi bagi mereka yang mempunyai anak, maka mereka akan merasakan bahawa pengalaman lampau akan menjadikan mereka lebih baik dari sebelumnya. Tidakkah ini yang dikatakan kenikmatan setelah kita melepasi semua kesengsaraan hidup?

Bersabarlah dalam menghadapi percaturan Allah kerana Allah tidak pernah zalim terhadap hambaNya, Dia maha mengetahui setiap apa yang dirancang untuk hambaNya. Apa yang perlu kita lakukan ialah mencari dari setiap arah  apakah kebaikan yang ada di sebalik apa yang berlaku. Sebagai anak, hak kita sangat terbatas apalagi berurusan dengan ibubapa. Walau apapun yang dilakukan oleh mereka, kita tidak dibenarkan sama sekali membalas perbuatan mereka kerana darjat seorang mereka sangat mulia lebih2 lagi ibu. Serahkan sahaja apa yang berlaku kepada yang Maha Esa kerana  Dia sahajalah yang maha adil dalam membuat keputusan dan hukuman.

Bagi mereka yang mengalami situasi ini, lihatlah siapa anda sekarang ini. Bukankah anda menjadi insan yang lebih memahami erti kasih dan sayang lebih-lebih lagi melibatkan anak sendiri? Bukankah anda menjadi ibu yang sangat penyayang? Bukankah anda menjadi manusia yang sangat memahmi penderitaan orang lain? Dan bukankah anda juga menjadi insan yang sangat tabah dan kuat tatkala menghadapi pelbagai kesedihan  dan kesulitan?

Saya tutup entry saya kali ini dengan permintaan yang lahir dari hati saya " Maafkan ibu dan ayah kita kerana kita juga tidak tahu sejarah silam mereka dan mengapa mereka yang Allah pilih untuk menjadi ibubapa sedemikian rupa."



Selasa, 9 Februari 2016

Kuasa Doa

Masih tergiang-giang di telinga sy kata-kata daripada seorang doktor pakar berbangsa cina tatkala sy membuat pemeriksaan buat pertama kali di kliniknya pada 14 Januari 2016 kerana bleeding yang sangat teruk. " Awak kena operate seberapa segera. Kalau tak, darah takkan berhenti. Awak takkan baik".  Dan, apabila mendengar sahaja perkataan 'operate', hati sy menjadi terlalu kecil. Perasaan bercampur baur. Takut, cemas, sedih semuanya menjadi satu. Sy rasa, apa yg berlaku pada sy merupakan satu penyakit yang sangat serius hingga tidak boleh ditangguh lagi. Esok sy disarankan untuk melakukan operate.

"Sampai bila awak nak bergantung pada ubat? Setahun, dua tahun atau empat tahun?" Itulah ayat yang keluar daripada mulut doktor tersebut apabila sy meminta masa untuk berbincang dengan family terlebih dahulu. 

Kata-kata doktor tersebut, benar-benar menghantui diri sy. Dengan penuh yakin doktor tersebut mengatakan sy tidak akan baik. Menurutnya lagi sy akan bergantung dengan ubat.....jika tidak, sampai bila-bila sy akan bleeding. " Itulah perbezaan antara seorang muslim dengan agama lain. Dalam Islam, setiap yang berlaku itu adalah dengan izin Allah SWT. Siapalah kita untuk merencanakan apa yang bakal berlaku pada masa akan datang? " Bisik hati kecil sy. Walau bagaimana pun, bohonglah jika hati dan perasaan sy tidak terusik dengan kata-kata doktor tersebut.

 Setiap musibah yang datang, menyebabkan kita sedar tiada siapa yang dapat memberi pertolongan melain Allah SWT. Sebagai hambaNya, kita haruslah memohon kepadaNya kerana Dialah yang menyembuhkan segala penyakit. Setiap penyakit itu datangnya  daripada  Dia dan daripada Dia jugalah kita memohon penawarnya. Ketika itu, sy merasakan diri ini sangat kerdil......sekerdil-kerdilnya di muka bumi Allah ini. Kekuatan harus dibina dalam diri. Pelbagai doa sy panjatkan untuk memohon kekuatan dan redha dalam semua ketentuanNya. Sy mula menghafal  beberapa doa yang berkaitan daripada ayat-ayat al-Quran. Bukan setakat itu sahaja, suami dan anak-anak juga memainkan peranan dalam memanjatkan doa kepada Allah SWT. Solat hajat daripada anak-anak sangat memberi kekuatan pada sy. Keyakinan sy semakin tinggi terhadap kuasa doa ini. Sahabat-sahabat rapat yang tahu tentang masalah sy, juga turut berdoa. Keyakinan sy semakin bertambah apabila dua orang kakak sy turut berkongsi rasa tentang apa yang sy rasa. Kata-kata doktor "sy tidak akan baik" itu berjaya sy nyahkan dari fikiran. Siapa dia yg hendak mendahului takdir.

Setiap hari suami akan membakar batu sungai untuk sy bertungku seperti dalam pantang. Anak-anak tak putus menyediakan air yasin untuk sy minum setiap hari. Doa tidak pernah putus memohon agar urusan sy dipermudahkan. Ayat 82 surah Yassin sentiasa sy baca sebelum sy memohon doa kepadaNya.

26 Januari 2016, temujanji sy dengan doktor pakar di HUKM. Doktor lelaki juga berbangsa cina. Ya Allah, memang Dia permudahkan urusan sy ketika itu. Layanan daripada doktor tersebut sangat menenangkan hati. Tatkala sy meminta doktor perempuan yang melakukan 'pep smear' ke atas sy, doktor lelaki itu boleh menunaikan permintaan sy dengan begitu baik sekali.  Syukur Alhamdulillah kerana doktor lelaki itu menghormati perasaan dan malu sy.

Selesai membuat pemeriksaan, doktor tersebut mengakui dinding rahim sy agak tebal dan terdapat fibroid yg agak kecil .Kali ini, doktor menyarankan agar sy tidak mengambil sebarang jenis ubat. Dia memberi sy tempoh 6 minggu untuk sy datang semula berjumpa dengannya. Dalam tempoh itu, sekiranya sy masih bleeding, sy disarankan datang semula ke unit kecemasan. Sepanjang perjalanan pulang, sy cuba pasrahkan diri ini kepadaNya. Ya Allah, hanya padaMu tempat aku berserah. Kuatkan keimananku agar aku tidak berburuk sangka dengan segala yang berlaku. Permudahkanlah segalanya.

“Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar terhadap-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.” – al Baqarah : 152 – 153

Kuasa doa......tiada siapa yg dapat menyangkalnya. Mengadulah padaNya kerana sifat manusia itu memang suka mengadu.
Allah itu, sentiasa ada di ‘sana’ untuk mendengar pengaduan daripada hambaNya. Apabila kita mengadu, bukan Allah tidak memberikan tindakbalas, sebaliknya, Allah mendengar pengaduan kita itu dengan memberikan ketenangan ke dalam hati kita walaupun kita tidak pernah melihat wajahNya.

Hari demi hari sy meletakkan harapan agar sy tidak bleeding seperti sebelum ini. Setiap solat, sy panjatkan doa agar Allah permudahkan segalanya. Subhanallah, maha  suci Allah....pada 3 Februari 2016, sy tidak bleeding seperti sebelumnya malah langsung tidak ada. Alhamdulillah hingga ke hari ini keadaan sy agak baik. Syukur alhamdulillah....terima kasih atas segalanya. 
"Ya Allah, aku bermohon kepadaMu agar Engkau tidak mengujiku dengan ujian-ujian yang tidak mampu aku tanggung. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu, permudahkanlah segalanya tatkala aku berjumpa semula doktor pakar pada 8 Mac ini nanti.

Seandainya ada antara kita,merasa tiada tempat mengadu kesedihan dan kepahitan, jangan  lupa Allah sentiasa membuka ruang kepada kita untuk Dia mendengar segala rintihan. Justeru, mengadulah apa sahaja kepadaNya kerana sesungguhnya Dia maha memahami dan mengetahui. Dia maha perancang yang baik. Berdoalah kepadaNya, mohonlah kepadaNya.
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran
"(2:186)

 Sy pinjam kata-kata daripada satu artikal yang pernah sy baca: 
"Sesungguhnya doa merupakan satu wasilah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah.Bersyukurlah kepadaNya apabila hajat kita disampaikan. Teruskanlah berdoa kepadaNya dengan penuh pengharapan dan mengharapkan petunjuk. Hakikatnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya".
Waallahualam.


Rabu, 20 Januari 2016

Doakan Saya

Tiba-tiba sahaja sy jadi terkejut apabila sorang doktor pakar sakit puan berbangsa cina mengatakan saya perlu di operate segera setelah dia membuat peperiksaan ke atas sy. Dengan tidak memberi penerangan yang jelas, sudah tentulah sy akan terkejut. Sewajarnya, sebagai seorang doktor pakar swasta, haruslah mesra pesakit dan dapat menenangkan perasaan pesakit. Disebabkan sy tidak pernah mendengar penyakit ini, sudah tentulah sy panik dan teruja ingin tahu lalu mengajukan banyak soalan. Malangnya, doktor hanya menjawab ; ' Kalau sy terangkan pun, awak tak faham". Shock seketika mendengar kata-kata doktor tersebut lantas sy terfikir, di manakah hak sy sebagai seorang pesakit? Sudahlah khidmat consultannya dibayar dengan harga yang agak tinggi.Ya Allah, sabarlah wahai hati.

Dari apa yang sy faham, doktor tersebut menjelaskan sebab-sebab berlaku pendarahan berterusan ke atas sy kerana dinding rahim sy agak tebal. Dalam keadaan sedikit panik, sy minta tangguh untuk membuat keputusan samada hendak dioperate segera atau mengambil sedikit masa. Sudah tentulah sy perlukan masa untuk berbincang dengan suami dan anak-anak. Keputusan untuk menangguhkan operation  menyebabkan doktor tersebut sedikit emosi. Sungguh mengecewakan. Sy cuma minta tangguh untuk memberi ruang sy berfikir, malangnya doktor tersebut boleh mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar keluar daripada seorang doktor pakar 'swasta'.
" Terpulanglah pada kamu.....sy cadangkan esok je kamu operate. Kalau tidak, kamu makan jelah ubat sampai setahun, dua tahun atau empat tahun. kalau sy nak terangkan panjang lebar pun, bukan kamu faham pun."  Ya Allah, mendesak sungguh doktor ni. Sy benar-benar stress.

Sudahlah layanan sangat tidak mengembirakan, bayaran pulak boleh tahan juga mahalnya. Ubat 4 jenis, scan dan consultan je mencecah RM 435.00. Dalam dompet ketika itu ada dua ratus lebih je. Kenalah sy tinggalkan kad pengenalan dan terus mencari mesin teller berdekatan.

Petangnya juga sy rujuk ke hospital Tanjung Karang. Malangnya, di sana sy tidak banyak dapat maklumat kerana doktor yang bertugas tidak banyak tahu tentang masalah sy. Kena ambil masa untuk mengesan punca sy 'bleeding' begitu lama. So, sy balik dalam keadaan yang sedikit kecewa. Malamnya sy cuba search di google. Di situ sy dapat banyak maklumat tentang apa yang sy hadapi sekarang ini. Anak sy memberitahu mungkin sy  mengalami ' Ensometrial hyperplasia'. Esoknya atas nasihat doktor Tanjung Karang, dan nasihat daripada sahabat baik sy kak Mun, sy pergi ke HUKM bersamanya.  Di sini, sy hanya buat temujanji untuk berjumpa pakar pada 26 Januari ni nanti Doakan semoga sy kuat menghadapi segalanya dan doakan semoga Allah permudahkan urusan sy.

Bila sy toleh semula hari-hari sebelumnya, Allah memberi kekuatan luar biasa kepada sy. Sy 'bleeding hampir sebulan lebih, dan dalam tempoh itu terlalu banyak aktiviti-aktivit sekolah dijalankan pada bulan December. Ketika itu, sekolah sy mengadakan majlis perasmian Pecah Tanah Dewan Serbaguna sekolah dan Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun sekolah sy ditubuhkan. Perasmian oleh Ketua Setiausaha Negara, jadi sudah tentulah banyak persiapan yang hendak dilakukan. Pada masa itu, sy mengalami pendaharan yg sangat serius di sekolah. Namun, Allah memberi kekuatan luar biasa kepada sy. Alhamdulillah, sy dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sempurna. Terima kasih, Allah.

Mungkin sy tidak biasa berkongsi kesedihan dengan keluarga sejak kecil, maka sikap itu terbawa-bawa hingga ke saat ini. Sy hanya berkongsi rasa dengan dua, tiga orang rakan sahaja. Bagi sy, kawan ketawa memang mudah diperoleh tetapi kawan menangis, memang sukar dicari. Sy redha dengan segalanya dan redha juga dengan keadaan sekeliling sy. Biarlah sy tidak ramai kawan, tetapi sy bersyukur kerana Allah mengurniakan sy dua, tiga sahabat yang sentiasa ada bersama sy selain daripada suami dan anak-anak.


"Ya Allah, sesungguhnya Engkau maha mengetahui akan segalanya. Kuatkanlah hambaMu ini dan permudahkanlah urusanku ".

Selasa, 12 Januari 2016

Anugerah Daripada Allah

Pantas sungguh masa berlalu.......
Sedar tak sedar, sudah 26 tahun usia perkahwinan sy. Walaupun terlalu banyak onak dan duri yang melanda, akhirnya semua dapat diatasi dengan pelbagai cara. Betapa besarnya kuasa DIA yang mentakdirkan perjalanan hidup ini. Subhanallah........
Walaupun keluarga sy bukan dalam kategori orang berada, tapi kami bahagia. Berbeza dengan rakan-rakan seusia sy, masing-masing hidup dalam keadaan mewah dengan harta benda dan rumah melebihi sebuah, kereta berjenama, tanah berekar-ekar dan sebagainya. Sy harus terima hakikat bahawa apa yang kami ada sekarang, adalah seratus peratus  hasil daripada keberkatan duit gaji kami tanpa ada satu sen pun duit yang masuk dari pelbagai sumber. Sungguh, kami tiada tanah pusaka, tiada pendapatan daripada rumah sewa, tiada sumber dari ladang,kebun dan sebagainya. Tiada juga terlibat dengan politik. (Opss....sy sebut pasal politik kerana senior sy sejak sekolah rendah hingga sekolah menengah begitu 'mewah'  walaupun hanya seorang guru dan isterinya juga seorang guru tapi sangat aktif dengan dunia politk)

Berbalik dengan kehidupan sy, kalau ditanya apa yang sy ada.......
Sy hanya menjawab, harta yg paling bernilai yg Allah beri pada sy ialah  sy dikurniakan anak-anak yang baik dan suami yang terima sy seadanya. Suami yg sedia menjadi driver jika sy hendak pergi ke mana-mana sahaja, suami yang boleh bangun pukul 3 pagi hanya kerana sy kelaparan di awal dinihari dan suami yg sering memujuk jika sy bertindak mengikut emosi.

Tatkala sy sering melihat anak-anak remaja berpelesiran tak tentu hala, berpegang tangan tanpa mengambil kira hukumnya, pulang lewat malam, lepak di mana-mana kedai mamak hingga tak kira masa, merokok, meninggikan suara ketika berbicara dengan ibu bapa, meremehkan aurat, dan yang paling sedih sekali ada remaja yg mengabaikan solat. Namun, semua yg sy nyatakan tadi, tidak ada pada anak-anak sy. Alhamdulillah. Bukan bangga diri, jauh sekali bersifat riak cuma inginlah sy nyatakan di sini, apa yg kita tanam.....itulah yang kita tuai. Berdoa pada Allah setiap kali solat agar memiliki anak-anak yg baik dan menyejukkan hati ibu bapa. Kita hanya berusaha, merancang sesuatu yang baik, selebihnya Allah jua tempat kita bermohon.Jika proses biasa telah kita laksanakan namun anak tetap mendatangkan masalah, maka redhalah kita menerima ujian daripadaNya. Selain daripada harta dan pangkat, anak juga boleh menjadi penguji keimanan kepada ibu bapa.

Sy bersyukur kerana pernah suatu ketika, anak sy menegur cara sy berjilbab yang tidak melepasi dada. berbaju kurung tetapi tidak menutup lengan dan tidak berstokin. Menutup aurat dalam erti kata hanya menakai tudung tetapi mengabaikan aurat yg lain. Membetulkan bacaan sy ketika membaca qalam Allah dan yang paling mengusik hati sy, anak-anak menjadi imam solat sy dan suami. 

Tahun lepas, sy merasakan lagi kasih sayang Allah kepada hambaNya kerana dua daripada tiga anak-anak sy berjaya menamatkan pelajarannya. Syukur alhamdulillah. Kejayaan anak-anak dalam akademik merupakan bonus bagi sy kerana apa yang sy harapkan  adalah sifat-sifat mereka ke arah menjadi anak-anak yang soleh dan solehah adalah lebih utama. Bagi sy, biar kurang bijak dalam ilmu dunia tapi lebih cenderung mencari, ,mempelajari dan mengaplikasi ilmu yang membolehkan kami semua mendapat sedikit tempat disisi Allah swt.

Kepada ibu bapa di luar sana, kita sepatutnya bersyukur dan berbahagia jika anak-anak dapat menjadi aset kita di akhirat kelak. Namun, seandainya anak-anak kita berjaya dalam akademik, anggaplah ia sebagai satu bonus dari Allah swt. Jangan pernah merasakan bahawa kitalah menjadi penyebabkan kejayaan anak-anak. Seperkara lagi janganlah kita membanding-bandingkan kecemerlangkan akademik antara anak-anak atau dengan anak orang lain kerana setiap seseorang itu ada kualiti tersendiri atau tersembunyi yang ada pada mereka sama ada mereka sedar atau tidak. Cuma, kita sebagai ibu bapa carilah kelebihan yang ada dan jangan lupa berdoa kepada DIA agar mengurniakan anak-anak yang menjadi penyejuk mata. 

Terima kasih Allah kerana memberikan sy sesuatu yang tidak pernah sy duga untuk memilikinya sebelum ini. Walaupun sy tidak pernah merasai  nilai kasih sayang itu semasa sy kecil hingga sy dewasa, namun kasih sayang itu berlimpah ruah di dalam rumah kecil kami sehingga kini.

Sekadar perkongsian





p/s - Mesti ramai yang tanya, mana suami sy? Untuk pengetahuan semua, inilah karaktor suami sy yang tidak suka bergambar dan tidak peka kepada hari-hari seperti ini. So, sy kena terimalah kelemahannya daripada seribu kebaikan yang dia ada. Okiossssss...... ;-)

Isnin, 4 Januari 2016

Selamat menyambut tahun 2016.

Selamat menyambut tahun 2016.

Huh!!!!!! Terlalu lama tidak menjenguk blog. Terlalu banyak sebab dan musabab mengapa sy menjadi begitu lembab dalam menguruskan blog ini. InshaAllah tahun ni, sy kembali aktif semula.
Bukan tidak ada cerita untuk dikongsi tetapi masa sy entah ke mana perginya sejak tahun2 kebelakangan ini. Ditambah pula kelembaban internet, menyebabkan sy turut terkena tempiasnya sekali.

Seperti biasa, sy tidak ada azam yang khusus setiap kali menjelang tahun baharu. Tapi apa yang pasti, sy selalu berjanji pada diri sendiri untuk menjadi yang lebih baik dari tahun sebelumnya. InshaAllah, kalau ada niat yang ikhlas, Allah akan membantu ke arah itu. Bak kata pepatah Arab :
Beruntunglah jika hari ini, kita lebih baik dari semalam....Rugilah jika hari ini kita sama sahaja dengan semalam....dan malanglah jika hari ini kita lebih teruk dari semalam.
So......kena ambil ingatan.




Semoga entry ini sebagai pembuka semangat untuk saya meneruskan kepada perkongsian cerita2 yang lain.